Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

204) HAKISAN SUNGAI KUANG DAN BANJIR DI KAWASAN SUNGAI KUNDANG

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan dalam mengatasi masalah hakisan Sungai Kuang dan masalah banjir kilat di Sungai Kundang yang sering berlaku?

    Pada tahun ini Kerajaan Negeri melalui JPS Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk penyelesaian jangka masa pendek dengan menyediakan peruntukan di bawah P13 sebanyak RM2 Juta bagi mengatasi masalah hakisan tebing Sungai Kuang. Kerja-kerja fizikal bagi pelaksanaan kerja pembaikan tebing ini dijangkakan akan bermula pada Ogos 2017.

    Untuk mengatasi banjir pula Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan inisiatif jangka masa pendek dengan menyediakan peruntukan di bawah B13 untuk kerja-kerja pelebaran Sungai Kuang- Sungai Kundang dan Sungai Serai yang kini masih dalam pelaksanaan. Kerja-kerja perlebaran ini dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung Ogos 2017.

    Bagi penyelesaian jangka masa panjang pula JPS Negeri Selangor telah melantik perunding untuk melaksanakan Kajian Rancangan Tebatan Banjir secara menyeluruh bagi Sungai Kuang – Sungai Kundang. Laporan kajian ini telah siap sepenuhnya tetapi pelaksanaan projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan Kerajaan. Fasa pertama yang akan dilaksanakan pada tahun ini yang melibatkan pembinaan kolam takungan banjir di kawasan Bandar Baru Kundang. Kerja-kerja fizikal projek ini dijangkakan akan bermula pada penghujung Julai 2017

    MAKLUMAT TAMBAHAN:

    Untuk makluman punca utama hakisan Sungai Kuang adalah disebabkan faktor kapasiti hujan yang luar biasa yang telah menyebabkan aliran sungai menjadi deras dari hilir sungai iaitu Sungai Kuang. Struktur asal tebing Sungai Kuang tidak dapat menampung aliran deras air sungai kerana struktur tebingnya adalah berpasir.

    Pada tahun-tahun sebelum ini pihak JPS Negeri Selangor juga telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan tebing dengan menggunakan peruntukan penyelenggaraan tahunan B13 dan ia digunakan untuk kawasan yang mengalami masalah hakisan tebing yang kritikal. Antara tebing Sungai Kuang yang telah diperkukuhkan sebelum tahun 2017 adalah di Lorong Temu, Lorong Setia 7 dan Lorong Imam Omar.

Lampiran

Tiada Lampiran.