Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

31) HAKMILIK BARU DIKELUARKAN UNTUK PROJEK SAKIT ATAUPUN PROJEK TERBENGKALA

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah polisi Kerajaan Negeri untuk menjaga kepentingan pembeli rumah projek sakit / terbengkalai?

    Untuk makluman Yang Berhormat, polisi Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) adalah untuk menyelesaikan masalah projek terbengkalai dan seterusnya bertindak sebagai pemudah cara bagi mengatasi masalah berkaitan.

    Antara polisi Kerajaan Negeri melalui LPHS ke atas projek     terbengkalai adalah seperti berikut :

    • Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang terlibat di mana persetujuan sekurang-kurangnya 85% daripada pembeli perlu diperolehi terlebih dahulu.

    LPHS berperanan mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank menstrukturkan semula atau pengurangan bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.

    LPHS juga mengadakan perbincangan dengan pelikuidasi (liquidator) terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.

    LPHS turut mengadakan perbincangan antara pelikuidasi (liquidator), bersama semua jabatan teknikal seperti Pejabat Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan termasuk pihak bank dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.

    Sekiranya projek ini melibatkan kenaikan kos, LPHS akan melantik Juruukur Bahan untuk membuat penilaian semula kos pemulihan projek tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek ini ingin diteruskan.

    Sekiranya projek ini menghadapi defisit kos pemulihan, LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan daripada kontraktor yang berminat dan berwibawa kepada KPKT untuk membuat keputusan bagi mendapatkan peruntukkan khas pemulihan projek ini.

    • Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pentadbir Tanah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi/Liquidator, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan Bank yang terlibat diurus setia oleh LPHS di mana dilaksanakan secara berjadual sejak tahun 2011 bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak terlibat dalam memulihkan projek terbengkalai. Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan disamping membuat pemantauan sehingga projek siap dengan Sijil Layak Menduduki.
    • Memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah ditadbir melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.
    • LPHS juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri tindakan-tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin. Tindakan perampasan tanah boleh dibuat sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah

    Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen

    100 Kanun Tanah Negara (KTN) dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 Kanun yang sama. Selain itu, pengambilan tanah juga dilaksanakan sebagai usaha membolehkan projek terbengkalai dipulihkan semula dan seterusnya dimajukan secara tender.

    Seperti Yang Berhormat sedia maklum pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh  kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract”  maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke Mahkamah.

Lampiran

Tiada Lampiran.