Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

65) HAKMILIK TANAH KAMPUNG FATIMAH, BANDAR SUNGAI EMAS

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sekumpulan 37 isi rumah India yang menetap di Kampung Fatimah, Bandar Sungai Emas pernah memohon untuk diberi hakmilik tanah untuk rumah mereka beberapa antara tahun 2008 hingga 2013. Apakah status terkini?

    Pentadbiran ini pernah menerima permohonan pemberimilikan daripada beberapa individu di bawah Seksyen 76 KTN beberapa kali di antara 2008           sehingga 2013 dari penduduk Kampung Fatimah. Permohonan ini telah diangkat        kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bil. 28/2012 bertarikh 01 Ogos 2012 telah meluluskan pelupusan           secara Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada penduduk di Kampung          Fatimah untuk tujuan kediaman. Ini adalah kerana tanah yang diduduki           sebahagiannya terletak di atas rizab sungai.

    1. Pada tahun 2013, Pentadbiran ini telah menerima lagi permohonan pemberimilikan di bawah Seksyen 76 KTN daripada 37 orang pemohon dari Kampung Fatimah. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bil. 30/2013 bertarikh 09 Oktober 2013 telah mengambil maklum bahawa keluasan yang boleh dipertimbangkan untuk pelupusan secara pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 KTN perlu mengikut piawaian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu di luar lingkungan 50 meter rizab sungai.

    iii.  Dalam tempoh 2013 sehingga 2018, penduduk di Kampung Fatimah telah mendapat Lesen Pendudukan Sementara (LPS) berdasarkan keputusan MMKN bil. 28/2012 melalui Notis 4A dan memperbaharui LPS tersebut setiap tahun. Pada tahun 2019, Pentadbiran ini sekali lagi telah menerima permohonan Jadual 1 daripada 37 pemohon dari Kampung Fatimah dan kini Pentadbiran ini dalam proses mendapatkan semula ulasan daripada JPS bagi mengesahkan sempadan 50 meter rizab sungai untuk menentukan pemohon yang layak dipertimbangkan untuk dilupuskan secara pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 KTN 1965.

Lampiran

Tiada Lampiran.