Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

59) HARGA RUMAH MAMPU MILIK

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama?

    Untuk makluman Y.Berhormat, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama melalui pembelian unit rumah melibatkan Skim Rumah Selangorku, Skim Dana Sel, Skim Sewa Beli (Rent To Own) dan Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’ adalah seperti berikut:

    i) Skim Rumah Selangorku

    Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah melaksanakan penawaran Rumah Selangorku kepada orang awam kepada golongan berpendapatan atau kategori B40 terutamanya projek Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B berharga RM42,000.00 seunit dan RM 100,000.00 seunit.

    ii. Skim Dana Sel

    Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan ini membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan. Skim ini akan dipertimbangkan untuk diperluaskan lagi pada masa akan datang agar ianya dapat membantu lebih ramai golongan B40 untuk memiliki kediaman.

    iii. Skim Sewa Beli (Rent To Own)

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang mengadakan cadangan berkerjasama beberapa pihak bank bagi mewujudkan satu skim sewa beli atau dikenali juga sebagai ‘Rent To Own’ khususnya untuk pembeli Rumah Selangorku di Negeri Selangor. Skim ini dapat membantu golongan B40 dan M40 yang berpendapatan isi rumah dibawah RM 10,000-00 sebulan untuk memiliki kediaman Mampu Milik atau Rumah Selangorku.

    Sehubungan dengan itu, perkara ini dalam proses rundingan dan perbincangan lanjut oleh Kerajaan Negeri bersama dengan pihak bank berkaitan sebelum kertas pertimbangan diangkat dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

     iv. Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’

    Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’ yang bertujuan memberikan pembiayaan wang pendahuluan (deposit) kepada golongan B40 dan M40 sebanyak 10% ke atas pembelian Rumah Selangorku khususnya pembangunan yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan projek anak syarikat PKNS sahaja. Kerajaan Negeri telah bersetuju menyediakan peruntukan sejumlah RM 15 juta untuk skim ini yang akan diuruskan oleh PKNS.

    Skim ini telah dilaksanakan oleh PKNS dengan kerjasama pihak Maybank Berhad bagi membantu pembeli tersebut untuk mendapatkan pembiayaan dengan mudah dan fleksibel.

Lampiran

Tiada Lampiran.