Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

204) HARGA RUMAH TINGGI

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Selain faktor harga hartanah yang tinggi, apakah faktor-faktor lain yang menyebabkan harga rumah semakin tinggi?

    Selain daripada faktor harga hartanah yang tinggi, beberapa faktor lain yang menyumbangkan kepada peningkatan harga jualan rumah yang biasanya diberikan penekanan oleh pemaju adalah seperti berikut:

    • Kenaikan Harga Barangan Pembinaan

    Pemaju menegaskan mereka dibebani dengan kenaikan harga batu bata, simen dan pasir yang secara tidak langsung akan meningkatkan kos- kos lain seperti kos pengangkutan, dan kos infrastruktur. Semakan rambang terhadap pasaran harga barangan pembinaan untuk tahun ini sahaja mendapati, harga batu bata telah meningkat sebanyak 9 peratus kepada 25 sen berbanding 23 sen pada tahun 2010 dan harga besi kerangka pula meningkat 36 peratus kepada RM3,100 satu tan berbanding RM2,285 satu tan pada tahun 2010.

    • Pengenaan Kadar premium tanah

    Pemaju menegaskan kadar premium tanah yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) agak tinggi iaitu berdasarkan kepada pasaran harga semasa.

    • Pengenaan Caj-Caj / Bayaran Caruman

    Berdasarkan semakan lebih daripada 30 jenis bayaran / caj yang akan dikenakan oleh pihak berkuasa kepada pemaju bagi sesuatu pembangunan. Caj-caj ini termasuklah yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan-Jabatan Teknikal dan juga termasuklah Agensi-Agensi Teknikal Swasta.

    • Kos Infrastruktur

    Hasil tinjauan yang pernah dijalankan, kebanyakan pemaju merasakan kos infrastruktur merupakan faktor yang paling utama terhadap peningkatan kos pembangunan projek. Ini kerana pemaju perlu menyempurnakan segala kemudahan infrastruktur dan utiliti seperti penyediaan jalan keluar masuk, penyediaan kemudahan dan bekalan air yang sempurna (SYABAS – seperti laluan paip dan tangki air), penyediaan kemudahan dan bekalan elektrik (TNB – seperti laluan kabel elektrik, penyediaan pencawang masuk elektrik) dan penyediaan kemudahan dan sistem pembentungan (IWK – penyediaan Sistem Kumbahan STP).

Lampiran

Tiada Lampiran.