Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

106) HARI TANPA POLISTERINA

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk mewartakan hari tanpa polisterina di Selangor?

    Kerajaan Negeri belum bercadang untuk mewartakan Hari Tanpa Polisterina di negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Program-Program menggalakkan pengurangan penggunaan polistrena sentiasa dilaksanakan di peringkat semua Pihak Berkuasa Tempatan melalui Program Bazar Ramadhan dan Pasar Malam Mampan.

    Merujuk kepada Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) SPBT bil 2/2011 telah mencadangkan pelaksanaan Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik dan Polisterin secara berperingkat seperti berikut :-

    • Peringkat Pertama : Pengurangan penggunaan polisterin dan beg plastik pada setiap hari
    • Peringkat Kedua : Pengurangan penggunaan polisterin dan beg plastik pada setiap hari Isnin dan Jumaat
    • Penyediaan makanan   dalam    bentuk   ‘buffet’    atau                         menggunakan pembungkus mesra alam / bahan guna

    Salah satu PBT yang giat menjalankan Program tersebut adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di mana satu dasar larangan menggunakan styrofoam yang telah diluluskan di peringkat Majlis dan syarat larangan tersebut telah dimasukkan di dalam lesen penjaja bermula 1 Januari 2014.

    Antara inisiatif lain yang akan diambil oleh pihak MBPJ termasuklah memasukkan syarat larangan penggunaan styrofoam ke dalam syarat lesen Establisymen Makanan yang melibatkan pemilik restoran bagi mencapai objektif sifar polisterin.

    Bagi perancangan jangka panjang, beberapa zon akan dikenal pasti bagi Zon Sifar Polisterin (Zero Polystyrene) bermula kawasan pentadbiran MBPJ iaitu Ibu Pejabat MBPJ dan Menara MBPJ.

    Pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) juga telah mensyaratkan tiada penggunaan polisterin di dalam kelulusan permohonan lesen dan memperbaharui lesen bagi semua jenis premis makanan pada tahun 2016.

    Tindakan penguatkuasaan bagi pemegang lesen/permit yang gagal mematuhi syarat-syarat tersebut boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen/permit.

    Pihak MPKJ membuat penjadualan semula pemeriksaan dengan meletakkan syarat kepada pemohon lesen perniagaan premis makanan dan penjaja makanan iaitu tidak membenarkan penggunaan polisterina untuk penyediaan, penyajian dan / atau pembungkusan makanan.

Lampiran

Tiada Lampiran.