Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

93) HASIL LAWATAN LUAR NEGARA

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan semua kejayaan yang diperoleh Kerajaan Negeri hasil lawatan luar negara.

    Usaha penggalakan pelaburan ke luar negara sememangnya telah meningkatkan minat pelabur asing untuk menerokai peluang-peluang yang ada di Negeri Selangor. Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri lebih memberi tumpuan kepada sektor aero angkasa, sains hayat, teknologi bio, e-Dagang dan halal. Sektor-sektor ini semakin mendapat tempat selari dengan perkembangan ekonomi dunia yang kini lebih menjurus kepada perniagaan atas talian, sains dan teknologi bio serta pengangkutan.

    Namun begitu, para pelabur ini mengambil masa di antara enam (6) bulan hingga ke satu (1) tahun atau malah dua (2) tahun dalam membuat keputusan untuk melabur di negara asing. Hal ini kerana para pelabur mengambil kira pelbagai aspek terutamanya kestabilan politik dan ekonomi sesebuah negara,  disamping implikasi kewangan syarikat dalam mendapatkan lokasi yang strategik, keperluan pekerja, logistik untuk pengedaran bahan mentah dan barang siap serta kemudahan infrastruktur di satu-satu lokasi.

    Selain daripada itu, misi penggalakan pelaburan ke luar negara ini juga turut memberikan penekanan di dalam usaha untuk mempromosikan Selangor International Expo 2016 di mana sektor yang terlibat di dalam expo tersebut telah diberi penekanan di dalam misi promosi di luar negara. Hasilnya hanya akan dapat dilihat semasa Expo yang akan diadakan pada Oktober ini.

    Untuk menjadikan Selangor terkenal di kalangan negara-negara ASEAN, Kerajaan Negeri perlu mempelajari bagaimana sesuatu industri di negara luar negara berkembang pesat dan bagaimana industri berkenaan bermula. Pengalaman-pengalaman dari agensi-agensi luar negara juga diambil kira bagi memajukan sesuatu industri di Selangor. Sebagai contoh, Selangor Bio Bay diilhamkan hasil daripada lawatan kerja ke San Francisco pada tahun lalu dan ianya kini sedang dalam proses pembangunan. Ini adalah antara hasil yang diperolehi daripada lawatan ke luar negara.

    Antara sektor-sektor yang banyak menerima maklumbalas/pertanyaan ketika lawatan penggalakan pelaburan diadakan di luar negara:

     

    Negara Sektor
    Singapura Aeroangkasa

     

    Australia Bioteknologi

     

    Korea Selatan Teknologi Bio, Sains Hayat, Bio Medik, Farmaseutikal, Kosmetik

     

    Lawatan sambil belajar ke Technology Park

     

    Vietnam Halal (Pembuatan Makanan)

     

    Lawatan sambil belajar ke Industrial Park

     

    Thailand Halal (Pembuatan Makanan)

     

    USA Bio-Teknologi, Start Up Company

     

    UAE Halal (Pembuatan Makanan), Peruncitan & Francais, Logistik
    Jepun Halal, Bio-Teknologi

     

    China E-dagang, Start Up Company, halal

     

    Taiwan E-dagang, Start Up Company, Halal (Pembuatan Makanan), Farmaseutikal, Kosmetik

     

    United Kingdom Aeroangkasa

     

     

    Lawatan ke Jepun yang telah diadakan ini telah berjaya menarik minat syarikat Jepun untuk membuat penambahan pelaburan bernilai RM2 bilion dalam industri automotif. Selain itu, terdapat juga lawatan susulan dari syarikat Jepun yang berminat untuk terlibat di dalam industri Aero Angkasa di Negeri Selangor.

    Menerusi misi pelaburan ke Australia juga, sebuah syarikat telah membuka kilang menghasilkan pakaian khas untuk penyelam-penyelam laut dalam.

    Manakala misi pelaburan ke Taiwan dan China telah banyak memberi kesan di mana beberapa pihak di Taiwan telah menandatangani beberapa perjanjian persefahaman dengan Central Spektrum (M) Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam industri halal.

Lampiran

Tiada Lampiran.