Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

166) HASIL NEGERI

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah bagi meningkatkan hasil Negeri Selangor selain daripada cukai dan premium tanah?

    Hasil cukai tanah dan premium tanah merupakan antara pendapatan utama kepada Kerajaan Negeri seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.

    Walau bagaimanapun, usaha-usaha lain masih diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan iaitu hasil tanah, lombong, hutan, duti hiburan, terimaan berkenaan air mentah, sewa dan jualan harta Negeri, bayaran fi/ denda dan pelucuthakkan mahkamah selain mahkamah persekutuan, faedah atas baki wang negeri, bayaran mengenai perkhidmatan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri dan harta karun.

    Bagi memastikan setiap Pejabat Pemungut Hasil mengoptimumkan usaha mengutip hasil sedia ada dan meneroka hasil baharu, terdapat dua jawatankuasa yang diwujudkan iaitu :

    (i) Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri yang membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien di samping memberi pulangan faedah yang optimum; dan

    (ii) Jawatankuasa Mengkaji Hasil Negeri Selangor yang membantu Kerajaan Negeri memantau Pejabat Pemungut Hasil Negeri dalam usaha mengutip hasil sedia ada secara maksimum, menyemak semula undang-undang dan peraturan bagi mengelakkan kehilangan hasil dan penerokaan hasil-hasil baharu.

    Di antara langkah-langkah yang dirancang bagi mempelbagaikan sumber hasil Kerajaan Negeri dan sedang dalam peringkat pemurnian serta semakan berkaitan undang-undang adalah bagi hasil seperti :

    (i) melaksanakan Pembaharuan Semula Penempatan Bandar (Urban Renewal) melalui tiga pendekatan iaitu pembangunan semula bandar (urban redevelopment), penjanaan semula bandar (urban regeneration) dan penyegaran semula bandar (urban revitalization). Pelaksanaan urban renewal ini akan mentransformasikan kawasan penempatan yang terpinggir, usang dan tidak lagi ekonomik serta nilai hartanah merudum kepada yang lebih mampan dan sejahtera dari aspek fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar. Langkah ini dijangka akan dapat mengoptimakan penggunaan tanah sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi baharu, menyuntik ekonomi setempat, meningkatkan nilai hartanah dan secara tak langsung memberikan hasil kepada Kerajaan Negeri melalui kutipan premium dan cukai tanah;

    (ii) melaksanakan Permit Khas sebagai kebenaran penggunaan sementara tanah pertanian yang digunakan selain tujuan pertanian (Perniagaan / Industri Ringan) di Negeri Selangor selaras dengan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 3 Tahun 2020;

    (iii) Mengenakan caj fi bagi pengeluaran kayu getah dan palma (kelapa/kelapa sawit) di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) dan selaras dengan keputusan Majlis Perhutanan Negara Ke-71;

    (iv) Cadangan pemulihan dan penguatkuasaan melalui pengenaan permit penggunaan di kawasan pencerobohan dan penerokaan secara haram di dalam sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Selatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri;

    (v) Mengenakan permit Access Benefit Sharing (ABS) iaitu permit bagi sumber biodiversity yang dikomersialkan bagi tujuan penyelidikan, perubatan dan kosmetik selaras dengan Akta Akses Kepada Sumber Biologi Dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795). Pelaksanaan Access Benefit Sharing bertujuan untuk memastikan sumber hasil biodiversity yang dikomersialkan dapat dipantau dan dikongsikan. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri akan memproses permohonan permit dan mengenakan bayaran bagi setiap permohonan yang diluluskan;

    (vi) Merangka pelaksanaan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (akuakultur) oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor. Apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj-caj tertentu di mana pada ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan sebarang caj. Selain daripada itu juga, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik;

    (vii) Melaksanakan semakan semula kadar caj perkhidmatan veterinar ke atas Kaedah-Kaedah Pusat Veterinar (Pindaan) 2007 oleh Jabatan Veterinar Negeri Selangor kerana terdapat pertambahan perkhidmatan dan kadar bayaran yang dikenakan ketika ini adalah berdasarkan kadar lama yang melebihi 10 tahun; dan

    (viii) Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 20/2020 yang bersidang pada 03 Jun 2020 dan telah disahkan oleh MMKN ke 21/2020 pada 10 Jun 2020 yang telah bersetuju merekodkan jumlah RM413,730,658.29 sebagai bayaran yang perlu dijelaskan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) kepada Kerajaan Negeri Selangor sebagai bayaran tunggakan di bawah Perjanjian Konsesi Air terdahulu yang tidak direkodkan sebagai hasil. Bayaran ini akan dibayar oleh Air Selangor secara ansuran dengan anggaran RM20 juta setahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.