Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

1) HASIL PENDAPATAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri dalam menambahkan hasil pendapatan selain daripada hasil cukai tanah?

    Hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu hasil tanah, lombong, hutan, duti hiburan, terimaan berkenaan air mentah, sewa dan jualan harta Negeri, bayaran fi/ denda dan pelucuthakkan mahkamah selain  mahkamah Persekutuan, faedah atas baki wang negeri, bayaran mengenai perkhidmatan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri dan harta karun.

    Hasil cukai tanah merupakan antara pendapatan utama kepada Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, usaha-usaha lain masih diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

    Di antara langkah-langkah yang dirancang bagi mempelbagaikan sumber hasil Kerajaan Negeri selain hasil cukai tanah sedang dalam peringkat pemurnian dan semakan berkaitan undang-undang bagi hasil seperti :

    • Permit Khas sebagai kebenaran penggunaan sementara tanah pertanian yang digunakan selain tujuan pertanian (Perniagaan/ Industri Ringan) oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor;
    • Mengenakan caj fi bagi pengeluaran kayu getah dan palma (kelapa/kelapa sawit) di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) dan selaras dengan keputusan Majlis Perhutanan Negara Ke-71; dan
    • Cadangan pemulihan dan penguatkuasaan melalui pengenaan permit penggunaan di kawasan pencerobohan dan penerokaan secara haram di dalam sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Selatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri;
    • Mengenakan permit Access Benefit Sharing (ABS) iaitu permit bagi sumber biodiversity yang dikomersialkan bagi tujuan penyelidikan, perubatan dan kosmetik selaras dengan Akta Akses Kepada Sumber Biologi Dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795). Pelaksanaan Access Benefit Sharing bertujuan untuk memastikan sumber hasil biodiversity yang dikomersialkan dapat dipantau dan dikongsikan. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri akan memproses permohonan permit dan mengenakan bayaran bagi setiap permohonan yang diluluskan;
    • Merangka pelaksanaan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (akuakultur) oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor. Apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj-caj tertentu di mana pada ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan sebarang caj. Selain daripada itu juga, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik; dan
    • Melaksanakan semakan semula kadar caj perkhidmatan veterinar ke atas Kaedah-Kaedah Pusat Veterinar (Pindaan) 2007 oleh Jabatan Veterinar Negeri Selangor kerana terdapat pertambahan perkhidmatan dan kadar bayaran yang dikenakan ketika ini adalah berdasarkan kadar lama yang melebihi 10 tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.