Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

1) HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apa justifikasi untuk Kerajaan Negeri mencadangkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara?

    HSK Kuala Langat Utara telah diwartakan pada 13 Mei 1927 dengan keluasan asal berjumlah ±7,246.96 ha. Kini keluasan HSK Kuala Langat Utara adalah berjumlah ±957.63 ha dan dikelilingi oleh pelbagai pembangunan guna tanah seperti perumahan Saujana Putra, Lebuhraya ELITE, perkampungan-perkampungan orang asli, aktiviti pertanian sawit, Ladang Boh Bukit Cheeding dan pembangunan bercampur Gamuda Cove.

    Selain itu, beberapa kali insiden kebakaran telah berlaku di HSK Kuala Langat Utara ini yang memusnahkan sebahagian kawasan HSK sehingga mengalami kemerosotan kualiti hutan (degradasi). Berdasarkan rekod, dari tahun 2012 hingga 2017 seluas 359.60 ha @ 888.21 ekar kawasan hutan ini telah terbakar. Ini menjadikan sebanyak 30-40% daripada keseluruhan kawasan HSK Kuala Langat Utara telah mengalami kemerosotan akibat kebakaran hutan. Berdasarkan kepada Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan Bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan 2017-2021, jumlah peratusan kawasan ini telah dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi (Zon Merah) di dalam Peta Zon Risiko Kebakaran.

    Justeru itu, tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi mengatasi isu kebakaran hutan ini akan melibatkan sejumlah peruntukan yang besar. Diangggarkan sejumlah RM 1 juta diperlukan dalam pelaksanaan program pencegahan dan operasi pemadaman kebakaran hutan dalam satu masa. Kos ini meliputi projek pembinaan telaga tiub, pembinaan fire break, pengaktifan telaga tiub, sewaan jentera semasa kebakaran, penggunaan pesawat bombadier dan lain-lain keperluan logistik. Berdasarkan kepada jumlah peruntukan yang tinggi ini, Kerajaan Negeri perlu meneliti sebaiknya keperluan pengekalan HSK ini serta pulangan ekonomi melalui kaedah seperti Kajian Cost Benefit Analysis (CBA).

    Tidak dinafikan juga bahawa pelbagai aktiviti pembangunan guna tanah yang pesat di sekeliling hutan ini menjadi antara faktor ancaman ke atas pengekalan hutan ini. Di samping itu, sebahagian kawasan HSK Kuala Langat Utara ini juga bakal dibangunkan untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan seluas ±9.6ha @ ±3.2 km. Projek ini adalah merupakan projek Kerajaan Persekutuan dan mempunyai kepentingan yang tinggi untuk manfaat awam.

    Merujuk kepada Seksyen 11(b), Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 telah menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh mengeluarkan mana-mana kawasan tanah dalam HSK jika berpuas hati ianya diperlukan bagi kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan yang sedang dilakukan sekarang.

    Berdasarkan kepada keputusan Kerajaan Negeri melalui MMKN Ke-30/2019 bertarikh 16 Oktober 2019, seluas ±931.17ha @ ±2,300 ekar kawasan HSK Kuala Langat Utara ini telah diluluskan untuk pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965. Walaubagaimanapun, sebelum proses pemberimilikan tanah ini diteruskan, syarat-syarat penyahwartaan HSK telah dikenakan untuk dipatuhi sepenuhnya oleh pemohon. Antara syarat-syarat yang telah dikenakan adalah melaksanakan Kaedah Penyiasatan Awam, penggantian kawasan HSK yang setara dan/atau lebih luas saiznya, proses pengeluaran dan penggantian HSK berlaku secara serentak, pengenaan bayaran pampasan gantirugi ke atas kehilangan manfaat hutan dan lain-lain syarat.

    Sebagai makluman tambahan, beberapa cadangan kawasan ganti telah dikenalpasti dan akan dikemukakan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri. Kawasan ganti ini dipilih berdasarkan kepada keadaan jenis hutan, keperluan perlindungan biodiversiti yang lebih tinggi dan aspek-aspek pengekalan hutan yang berkaitan. Daripada 12 buah kawasan yang dicadangkan, sebanyak 3 kawasan telah dipilih berdasarkan justifikasi yang bersesuaian. Kawasan tersebut adalah seperti Lot PT 4182, Mukim Sungai Panjang, Daerah Sabak Bernam seluas  ±308.62 ha @ ±762.29 ekar (merupakan Hutan Paya Gambut), Tanah Kerajaan Mukim Sungai Panjang 2, Daerah Sabak Bernam seluas ±606.88 ha @ ±1499.00 ekar (merupakan Hutan Paya Gambut) dan Tanah Kerajaan di Ampang Pechah, Mukim Buloh Telor, Daerah Hulu Selangor seluas ±190.28 ha @ ±470.00 ekar (merupakan antara kawasan koridor ekologi Central Forest Spine negeri Selangor). Ini menjadikan keseluruhan kawasan yang akan diganti bagi penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara seluas ±931.17 ha @ ±2,300 ekar adalah seluas ±1,105.78 ha @ ±2,731.29 ekar.

    Merujuk kepada Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih berada di peringkat awal di mana bantahan-bantahan awam secara bertulis sedang diterima oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor selama tempoh 30 hari bermula 05 Februari 2020 yang lalu. Sehingga kini, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menerima sejumlah 44,292 bantahan secara bertulis. Seterusnya, satu sesi pendengaran awam (Town Hall Session) akan diadakan bagi tujuan mendapatkan bantahan secara lisan mengenai cadangan penyahwartaan HSK tersebut.

    Sepanjang proses penyahwartaan ini, segala bantahan yang dikemukakan akan diteliti dan diperhalusi oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna sebelum diangkat kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Berdasarkan kepada analisa bantahan ini, beberapa justifikasi boleh diperolehi untuk menjadikan asas pertimbangan dan seterusnya mengesyorkan opsyen-opsyen yang wajar sama ada penyahwartaan HSK boleh diteruskan atau sebaliknya.

Lampiran

Tiada Lampiran.