Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

120) IBU TUNGGAL

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah ibu tunggal yang berjaya dibantu dengan memberi peluang pekerjaan atau perniagaan?

    Jabatan Pembangunan Wanita telah melaksanakan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit) dan Inkubator Keusahawanan Wanita ( I- Keunita ) bermula dari tahun 2010- 2017.

     

    Objektif Program I-Kit dan I-Keunita adalah seperti berikut :-

    • Menyediakan latihan dalam bidang kemahiran yang boleh dikomersialkan ;
    • Membuka minda ibu tunggal kearah peningkatan keyakinan diri serta memberi motivasi untuk memajukan diri sendiri; dan
    • Meningkatkan potensi untuk berdikari secara ekonomi setelah memperolehi kemahiran, iaitu dengan menceburi bidang keusahawanan atau mendapat pekerjaan.

     

    Antara kursus kemahiran diri dan program substantif yang telah dijalankan oleh jabatan Pembangunan Wanita adalah seperti di bawah :-

    • Kursus Pastri
    • Jahitan Baju Kurung
    • Kraftangan
    • Kursus Spa
    • Sulaman Manik dan Reben
    • Personaliti dan Kecantikan
    • Refleksologi
    • Produk IKS
    • Kursus Franchaise
    • Kursus Penyediaan Makanan
    • Kursus Ice Blended

    Seramai 614 peserta dari Negeri Selangor telah berjaya dilatih menerusi Program I-Kit dan I-Keunita bermula dari tahun 2010-2017.

    Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor menyalurkan bantuan kebajikan kepada golongan sasar yang berkeperluan dan berkelayakan. Salah satu kumpulan sasar jabatan adalah keluarga miskin termasuk golongan ibu tunggal yang berkeperluan. Terdapat golongan ibu tunggal yang dikenalpasti bersifat produktif dan berpotensi meningkatkan sosio ekonomi keluarga yang perlu dibantu oleh jabatan dengan melaksanakan konsep 2 Years Exit Programme (2YEP) melalui Skim Bantuan Persekutuan. Program tersebut mula dilaksanakan sejak tahun 2016 melibatkan penerima bantuan kebajikan JKM termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan keluarga miskin.

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat,

    Jabatan ini telah menyuntik dana untuk modal permulaan iaitu Bantuan Geran Pelancaran bagi klien menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Berdasarkan rekod, seramai 750 orang ibu tunggal yang menerima bantuan di JKM Negeri Selangor dengan melibatkan peruntukan bantuan bulanan (Skim Bantuan Persekutuan) sebanyak RM 218,600.00. Pihak jabatan telah mengenalpasti ibu tunggal yang berpotensi dan produktif dalam memajukan diri seramai 75 orang namun hanya seramai 24 orang sahaja yang berjaya meningkatkan sosio ekonomi keluarga melalui program 2YEP tersebut. Pencapaian bagi kategori ibu tunggal yang berjaya adalah sebanyak 32 peratus dalam tempoh 2016 sehingga 2018. 

Lampiran

Tiada Lampiran.