Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

147) Ibu Tunggal

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Banyak skim kerajaan melindungi ibu tunggal tetapi tidak termasuk ibu tunggal yang belum berkahwin tetapi mempunyai anak. Adakah apa-apa cadangan atau polisi yang sesuai untuk melindungi mereka atau membenarkan mereka mendapat manfaat?

    Sebagai sebuah negeri yang prihatin rakyat, pelbagai usaha dan inisiatif telah direncana oleh Kerajaan Negeri Selangor agar inisiatif-inisiatif yang disediakan dapat memberi impak dan manfaat yang optima kepada semua golongan, baik dari segi pemberian bantuan mahupun dari segi pelaksanaan program-program oleh Kerajaan Negeri.

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, mengambilkira input Banci Penduduk dan Perumahan 2010, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mendefinisi ibu tunggal seperti berikut :

    (i) Perempuan yang menjadi Ketua Isi Rumah, bertaraf perkahwinan balu atau bercerai / berpisah tetap dan mempunyai anak yang belum berkahwin dalam isi rumah yang sama;

    (ii) Perempuan yang menjadi Ketua Isi Rumah tetapi mempunyai suami (suaminya tidak sihat dan tidak berkemampuan untuk bekerja) dan mempunyai anak yang belum berkahwin dalam isi rumah yang sama; atau

    (iii) Perempuan yang menjadi Ketua Isi Rumah, tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai anak (anak angkat atau anak tidak sah taraf).

    Oleh yang demikian, tiada istilah mengatakan skim kerajaan melindungi ibu tunggal tetapi tidak termasuk ibu tunggal yang belum berkahwin tetapi mempunyai anak kerana mereka ini juga adalah termasuk dalam kategori definisi ibu tunggal dan berhak mendapat manfaat tertakluk kepada memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    Di Selangor, golongan ibu tunggal tidak pernah disisihkan untuk turut sama menerima manfaat yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS-IT) yang bermula bulan Mei 2020 lalu menzahirkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni golongan ibu tunggal. Sehingga 18 Oktober 2020, sejumlah 2,292 permohonan telah diterima secara online oleh Selcare Management Sdn Bhd sebagai pengendali program ini. Sebanyak 412 permohonan telah diluluskan. 172 permohonan ditolak dan baki adalah dalam proses semakan dan kelulusan.

    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga turut menyediakan Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) di mana bantuan kewangan sebanyak RM300.00 diberi sekaligus (one off) kepada mereka yang layak. Bantuan ini adalah berdasarkan pengkalan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

    Permohonan BKIT ini bermula dari Julai 2020 sehingga 31 Oktober 2020 dan pembayaran kepada ibu tunggal yang layak melalui Electronic Fund Transfer (EFT) di mana bayaran akan terus dimasukkan ke akaun bank penerima bayaran secara berperingkat-peringkat sehingga selesai.

Lampiran

Tiada Lampiran.