Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

5) IMPAK COVID-19 TERHADAP EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejak bermulanya PKP, apakah impak Covid-19 terhadap ekonomi Negeri Selangor dan anggaran rakyat Selangor yang kehilangan pekerjaan?

    Kesan terhadap ekonomi telah mula dirasai di seluruh dunia termasuk di Malaysia walaupun sebelum WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik. Pada bulan Jun 2020, IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan dunia kepada negatif 4.9 peratus. Saluran perdagangan yang terkesan oleh lockdown di Wuhan dianggap sebagai kesan pusingan pertama kerana kesukaran untuk memperoleh bahan input perantaraan yang diimport dari China menyebabkan eksport negara mula terjejas. Kesan yang lebih ketara terhadap ekonomi negara berlaku apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula diperkenalkan dan dianggap sebagai kesan pusingan kedua yang lebih serius terhadap ekonomi kerana bukan sahaja aktiviti pengeluaran terganggu malah gangguan yang lebih serius adalah kerana penutupan atau pengurangan operasi berpunca dari PKP.

    PKP turut menyebabkan sesetengah golongan pekerja kehilangan pendapatan. Antara lain, aktiviti perdagangan kecil-kecilan terbantut, pekerja kontrak kehilangan pendapatan dan pelbagai lagi kekangan terhadap aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada pendapatan individu. Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk tahun ini akan tumbuh pada kadar di antara julat 0.5 peratus dan negatif 2.0 peratus dengan mengambil kira pakej rangsangan ekonomi kerajaan. Namun BNM mengakui bahawa unjuran tersebut terdedah kepada risiko penurunan yang tinggi disebabkan oleh ketidaktentuan penyelesaian isu pandemik ini. Semakan semula unjuran IMF pada bulan Jun menyaksikan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dianggarkan pada kadar negatif 3.8 peratus.

    Namun begitu, secara umumnya, KDNK Selangor dijangka tumbuh lebih pantas daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia kerana kelebihan kompetitif terutamanya dimiliki oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang lebih kurang dua pertiga kepada KDNK Selangor. Berdasarkan pertumbuhan KDNK nasional di dalam julat negatif 3.0 peratus sehingga positif 0.5 peratus, ekonomi Selangor dijangka akan tumbuh di antara negatif 1.5 peratus sehingga positif 2.1 peratus.
    Sebagai persediaan bagi menghadapi kesan akibat pandemik ini, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan melantik perunding Econsult Consultancy and Training bagi melihat keseriusan impak kepada sektor ekonomi di Negeri Selangor dan merangka langkah-langkah bagi mengatasi serta memacu semula pertumbuhan ekonomi. Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, pihak perunding telah mengemukakan unjuran pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor berasaskan kepada jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia di antara julat 0.5% dan negatif 3.0%. Hasil kajian mendapati Negeri Selangor dijangka merekodkan pertumbuhan positif di dalam empat (4) daripada tujuh (7) senario yang telah dianggar.

    Melihat kepada unjuran tersebut, Kerajaan Negeri yakin campur tangan dasar adalah amat penting untuk mengelakkan kitaran ekonomi dari terus mengalami kesan rantaian menurun, yang mana akan menyebabkan ekonomi terjebak di dalam kemelesetan yang meruncing. Dasar yang bersesuaian mampu membanteras kitaran ekonomi menurun akibat kesan dari interaksi permintaan dan penawaran serta seterusnya dapat mengelakkan dari keruntuhan ekonomi. Kedua-dua permintaan dan penawaran perlu ditingkatkan menggunakan dasar fiskal dan kewangan yang sesuai. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa meneroka peluang dan ruang bagi membantu meringankan bebanan yang dialami oleh rakyat Negeri Selangor dan seterusnya memacu semula pertumbuhan ekonomi negeri Selangor pada kadar yang selesa.

    Merujuk kepada sumber daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penganggur di Malaysia dianggarkan seramai 546.6 ribu orang, naik 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas. Walau bagaimanapun, bilangan penganggur dari Negeri Selangor tidak dapat dianggarkan memandangkan statistik hanya dibuat secara keseluruhan.

    Namun begitu, berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh perunding yang dilantik, didapati unjuran kadar pengangguran di negeri Selangor adalah pada kadar 5.5 peratus hingga 8.8 peratus bergantung kepada senario pertumbuhan ekonomi. Kadar pengangguran untuk Selangor didapati lebih tinggi daripada kadar untuk nasional untuk kebanyakan senario. Keadaan ini disebabkan oleh dominasi Selangor ke atas sektor perkhidmatan dan pembuatan. Kedua-dua sektor ini dijangka mengalami kehilangan pekerja yang paling tinggi kerana pengurangan pengeluaran oleh kebanyakan aktiviti ekonomi. Untuk senario yang terbaik, di mana KDNK nasional tumbuh pada kadar 0.5 peratus, kadar pengangguran Selangor dijangka pada kadar 5.5 peratus, 0.5 mata peratusan lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional. Untuk senario terburuk, di mana KDNK nasional tumbuh pada kadar negatif 3.0 peratus, kadar pengangguran untuk negara serta Selangor diunjurkan pada kadar 8.8 peratus. Ini merupakan kadar terburuk di dalam sejarah untuk jangka masa yang lama.

Lampiran

Tiada Lampiran.