Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

72) IMPAK COVID 19 TERHADAP PEKERJA LADANG

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila butirkan impak covid-19 terhadap pekerja ladang warganegara di Negeri Selangor

    Menurut sumber dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bertarikh 6 Jun 2020, penularan pandemik Covid – 19 yang melanda negara tidak memberi impak secara langsung kepada pekerja ladang warganegara di Negeri Selangor khususnya memandangkan Kerajaan Negeri membenarkan sektor peladangan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020. Namun begitu, saya berpandangan bahawa butiran tersebut adalah tidak secara menyeluruh memandangkan tiada data terkumpul dan bancian yang dilaksanakan berkenaan perkara ini.

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Gasing, jumlah pekerja ladang di Negeri Selangor tidak direkod secara khusus di mana pekerja ladang di negeri ini dibahagikan kepada tiga (3) kategori. Pertama, terdapat pemilik ladang yang menggajikan pekerja secara tetap dan pekerja tersebut dikenalpasti sebagai pekerja ladang. Kedua, terdapat pemilik ladang yang membenarkan pihak swasta bekerja di ladang mereka di mana pekerja tersebut bekerja secara kontrak dan tidak dianggap sebagai pekerja ladang. Ketiga, terdapat pekerja ladang yang bekerja sebagai kontraktor persendirian untuk membuat kerja – kerja di sektor perladangan. Justeru, impak Covid – 19 terhadap pekerja ladang warganegara di Negeri Selangor adalah tidak dapat dikenalpasti secara tepat dan menyeluruh.

Lampiran

Tiada Lampiran.