Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

217) IMPLIKASI CATUAN AIR PADA EKONOMI NEGERI

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah implikasi akibat catuan air kepada ekonomi negeri baru-baru ini?

    Catuan bekalan air yang melanda Negeri Selangor Peringkat 1 hingga Peringkat 4 mulai 27 Februari 2014 hingga 30 April 2014 adalah disebabkan oleh faktorfaktor berikut:-

    1. Peringkat 1 – Diaktifkan bermula pada 27 Februari 2014 akibat dari peningkatan paras ammonia dalam air mentah di Sungai Langat yang mengakibatkan LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas;
    2. Peringkat 2– Diaktifkan bermula pada 2 Mac 2014 akibat dari pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 200 JLH dari empangan Sungai Selangor dan 30 JLH dari Empangan Klang Gates; dan
    3. Peringkat 3 – Diaktifkan bermula pada 10 Mac 2014 akibat dari pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 500 JLH dari empangan Sungai Selangor dan 30 JLH dari Empangan Klang Gates. Pengurangan air mentah ini menyebabkan loji SSP 1, SSP 2, SSP 3, LRA Rasa dan LRA Rantau Panjang, LRA Bukit Nanas dan LRA Wangsa Maju mengurangkan pengeluaran air terawat; dan
    4. Peringkat 4 -Diaktifkan bermula pada 18 Mac 2014 akibat dari pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 1,000 JLH dari empangan Sungai Selangor berikutan dari paras Empangan Sungai Selangor yang mencapai paras simpanan sebanyak 39% dan 30 JLH dari Empangan Klang Gates. Pengurangan air mentah ini menyebabkan loji SSP 1, SSP 2, SSP 3, LRA Rasa dan LRA Rantau Panjang, LRA Bukit Nanas dan LRA Wangsa Maju mengurangkan pengeluaran air terawat.

    Catuan bekalan air ini dibuat adalah sebagai usaha untuk meningkatkan paras Empangan Sungai Selangor dari terus menurun. Sekiranya paras simpanan air mentah di Empangan Sungai Selangor tidak dapat ditingkatkan, adalah dikhuatiri dengan kedatangan musim kering dan panas disebabkan oleh Monsun Barat Daya dijangka bermula dari bulan Jun hingga Ogos akan datang boleh menyulitkan lagi peningkatan paras empangan tersebut.

    Penurunan paras empangan itu adalah disebabkan oleh keadaan cuaca panas yang luar biasa ditambah dengan pengurangan kadar hujan yang ketara. Keadaan  cuaca tersebut menyebabkan empangan ini menerima hujan yang sedikit sejak dua bulan yang lalu berbanding dengan tahun-tahun yang lepas seperti yang dapat dilihat seperti jadual di bawah:

    TAHUN JUMLAH HUJAN BULANAN      
    JANUARI FEBRUARI MAC OKT NOV DEC
    2007 193.30 46.65 234.45 286.87 372.73 268.65
    2008 165.54 83.99 295.11 272.22 419.77 62.00
    2009 91.0 99.56 325.13 64.00 84.82 50.40
    2010 162 82 208 115.43 392.24 151.84
    2011 190 50 183 251.66 274.80 185.54
    2012 106 217 199 245.78 496.50 223.57
    2013 96 149 107 385.71 210.07 139.19
    2014 102 2 54      

    Dalam keadaan cuaca biasa, Empangan Sungai Selangor memang mencukupi untuk membekalkan air mentah untuk dirawat dan seterusnya diagihkan kepada pengguna.

    Kerajaan Negeri Selangor maklum catuan bekalan air bukanlah suatu kaedah yang akan diterima baik oleh pengguna kerana ia akan menyulitkan dan melibatkan kerugian besar terutamanya kepada pengusaha kilang dan perdagangan.  Namun demikian, sekiranya catuan tersebut tidak dilaksanakan, paras empangan Sungai Selangor akan terus menurun dan akan lebih menyulitkan semua pihak serta pemulihan kepada keadaan tersebut akan mengambil masa yang lebih panjang lagi.

    Pada masa yang sama juga, catuan yang berlaku baru-baru ini adalah satu keadaan luar jangka yang sememangnya tidak dapat dielakkan  dari berlaku.

Lampiran

Tiada Lampiran.