Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

108) INDUSTRI AIR DI SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini tentang rundingan pengambil-alihan industri dan aset air di Selangor?

    Bersekali dengan jawapan soalan NO. 98 bertulis.
    Pindaan Perlembagaan pada tahun 2005 telah meletakkan air di bawah Senarai 111-
    Senarai Bersama. Melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah
    diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif
    berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan
    perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah
    Persekutuan Putrajaya dan Labuan.
    Selain dari itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menswastakan perkhidmatan bekalan
    air semenjak tahun 1994 dan penswastaan sepenuhnya telah dilaksanakan pada
    tahun 2004. Melalui penswastaan ini, Perjanjian Konsesi telah ditandatangani di
    antara Kerajaan Negeri dan Syarikat Konsesi Air.
    Dalam proses untuk mengambil alih semula perkhidmatan bekalan air dari
    Pemegang Konsesi untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya, ia perlu
    melalui proses deprivatisation yang akan melibatkan banyak pihak. Deprivatisation
    akan menjurus kepada penamatan perjanjian konsesi sedia ada. Perlembagaan
    Malaysia memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya
    kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh
    memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa
    pampasan yang memadai.
    Oleh yang demikian, dalam melaksanakan pengambilalihan semula perkhidmatan
    bekalan air dari Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada terma
    dan syarat perjanjian di mana sejumlah pampasan perlu untuk disediakan untuk
    dibayar kepada Pemegang Konsesi. Sekiranya Pemegang Konsesi tidak dibayar
    pampasan yang setimpal, perkara ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri kepada
    tindakan undang-undang dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri boleh
    dianggap bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.
    Dalam usaha untuk mencapai hasrat untuk menstrukturkan semula Industri
    Perkhidmatan Air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
    Putrajaya, beberapa siri rundingan telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi. Pada 12
    Februari 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran awal
    sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang Konsesi. Namun demikian, kesemua
    Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran tersebut atas alasan bahawa nilai
    yang ditawarkan itu adalah rendah dan tidak cukup untuk menampung obligasi
    hutang Pemegang Konsesi.
    Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut,
    penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai
    jalan buntu. Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah
    memulakan semula rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor. Rundingan
    semula ini telah bermula pada 25 Mei 2009 di mana satu jawatan kuasa
    penstrukturan semula industri air negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat
    Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA). Mesyuarat Jawatan Kuasa
    penstrukturan tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KTTHA dan
    dianggotai oleh agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan, Unit
    Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara,
    Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
    (SPAN). Pasukan dari Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Y.B. Setiausaha
    Kerajaan Negeri dan anggotanya terdiri dari Y.B. Penasihat Undang-undang, Y.B.
    Pegawai Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Penasihat Kewangan
    kepada Y.A.B. Dato Menteri Besar, Pegawai Penyelidik kepada Y.A.B. Dato Menteri
    Besar dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) adalah turut menjadi ahli di
    dalam Jawatan Kuasa Penstrukturan peringkat Kerajaan Persekutuan.
    Peranan dan Tanggungjawab jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri
    Selangor adalah seperti berikut:-
    i) Mengkaji dan menilai cadangan konsep da model penstrukturan dan opsyen
    yang sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan selari dengan Akta Industri
    Perkhidmatan Air (Akta 655).
    ii) Melaksanakan opsyen yang telah dipersetujui termasuk mengadakan
    rundingan dengan semua pihak yang terlibat dalam penstrukturan semula ini
    mengikut opsyen yang telah dipersetujui.
    iii) Memperakukan hasil rundingan kepada pihak yang membuat keputusan iaitu:
    a) KTTHA memperakukan kepada Kabinet; dan
    b) Kerajaan Negeri Selangor memperakukan kepada Majlis Mesyuarat
    Kerajaan Negeri
    iv) Menyediakan perjanjian yang berkaitan dengan penstrukturan semula industri
    perkhidmatan air Negeri Selangor.
    Antara 25 hingga 29 Mei 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan
    model penstrukturan semula negeri Selangor ke dalam Jawatan kuasa tersebut.
    Model yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah pengambilalihan
    kesemua Syarikat Konsesi Air di Selangor dan seterusnya satu operator yang terdiri
    dari syarikat milik penuh Kerajaan Selangor akan dilantik Single Operator dalam
    mengendalikan perkhidmatan air secara holistik bermula dari rawatan hingga
    pengagihan air kepada pengguna di Negeri Selangor.
    PAAB turut membentangkan opsyen penstrukturan di mana SYABAS dan Puncak
    Niaga disatukan sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAN untuk agihan dan
    rawatan manakala ABASS dan SPLASH dikekalkan sebagai operator rawatan dan
    diberikan authorisation oleh SPAN.
    Namun Jawatan Kuasa akhirnya bersetuju supaya Model Selangor digunakan di
    dalam rundingan bersama Pemegang Konsesi. Lanjutan dari persetujuan ke atas
    Model Selangor, pasukan rundingan dengan Pemegang Konsesi telah mengujudkan
    Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja di peringkat Negeri
    Selangor. Jawatan Kuasa Induk Rundingan diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan
    Negeri Selangor turut dianggotai oleh wakil dari KTTHA adalah berperanan untuk
    mengemukakan dan merundingkan harga tawaran kepada Pemegang Konsesi.
    Manakala Jawatan Kuasa Kerja diketuai oleh Penasihat Kewangan kepada YAB
    Dato Menteri Besar Selangor dan dihadiri oleh wakil dari Syarikat Konsesi Air.
    Jawatan Kuasa Kerja adalah berperanan untuk membincangkan dengan wakil
    Syarikat Konsesi secara terperinci dari segi kewangan yang berkaitan dengan harga
    yang telah ditawarkan tersebut dan seterusnya melaporkan kepada Jawatan Kuasa
    Induk Rundingan. Rundingan dengan Pemegang Konsesi telah dimulakan oleh
    Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja bermula semenjak 10
    Jun 2009.
    Berdasarkan kepada perbincangan di dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Induk
    Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air, Kerajaan Negeri telah menyemak
    semula nilai tawaran asal tersebut dan telah bersetuju supaya nilai tawaran kepada
    Pemegang Konsesi dianggarkan pada jumlah RM9.218 bilion. Nilai RM9.218 bilion
    yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi adalah tidak lebih dari nilai yang akan
    dibayar oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kepada Kerajaan Negeri Selangor
    sebagai balasan ke atas aset-aset bekalan air yang akan diambil alih oleh PAAB.
    Nilai RM9.218 yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi adalah mengandungi
    nilaian ke atas aset, nilaian ekuiti dan liabiliti termasuk bon yang ditanggung oleh
    Pemegang Konsesi yang berkaitan khusus dengan perkhidmatan air sahaja (water
    related activities only).
    Penilaian yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri adalah dibuat berdasarkan Audited
    Account Pemegang Konsesi dan anggaran setakat 30 Jun 2009. Dalam membuat
    penilaian ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menggunakan kaedah 1 x Nett Book
    Value sebagai mana kaedah penilaian yang dipersetujui oleh PAAB. Dalam
    menentukan nilai yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri
    telah mengambil kira elemen-elemen mengenai jumlah pelaburan yang telah dibuat
    oleh pemegang saham di dalam Syarikat Konsesi Air, tempoh pelaburan yang telah
    dibuat, jumlah hutang yang ditanggung, dan pulangan keuntungan sebanyak 12%
    atas pelaburan yang telah dibuat oleh Pemegang Saham. Kerajaan Negeri Selangor
    amat menitikberatkan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna di
    samping tidak merugikan mana-mana pihak.
    Nilai RM9.218 bilion tersebut adalah anggaran sahaja. Nilai sebenar yang akan
    dibayar kepada Pemegang Konsesi akan ditentukan selepas proses due diligence
    disempurnakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juru perunding yang dilantik.
    Sekiranya wujud perbezaan dan/atau ketidaktepatan ke atas nilai yang dianggarkan
    selepas proses due diligence disempurnakan, maka nilai sebenar yang akan dibayar
    kepada Pemegang Konsesi akan diselaraskan sebagaimana patut.
    Tawaran pengambilalihan syarikat konsesi air menggunakan Model holistik Kerajaan
    Negeri Selangor pada anggaran nilai RM9.218 bilion tersebut diterima oleh SPLASH
    dan ABASS, manakala SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd menolak tawaran
    tersebut.
    Lanjutan tidak mendapat persetujuan dari kesemua syarikat pemegang konsesi ke
    atas Model holistik Kerajaan Negeri Selangor, pihak Kementerian Tenaga, Teknologi
    Hijau dan Air (KTTHA) telah bersetuju supaya Model Pengurusan Aset Air Berhad
    (PAAB) digunakan untuk proses penstrukturan semula di Selangor.
    Di bawah Model PAAB ini, SYABAS akan dilesenkan oleh Suruhanjaya
    Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai operator agihan manakala ABASS,
    SPLASH dan Puncak Niaga dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan
    authorisation oleh SPAN. Di bawah Model PAAB ini juga, pegangan ekuiti Kerajaan
    Negeri Selangor di dalam SYABAS akan ditingkatkan dari 30% kepada 49%
    manakala pegangan ekuiti Puncak Niaga di dalam SYABAS akan dikurangkan dari
    70% kepada 51% dan saham emas akan kekal dipegang oleh Kerajaan
    Persekutuan.
    Penerimaan Kerajaan Negeri Selangor terhadap Model PAAB adalah tertakluk
    kepada beberapa syarat seperti berikut:-
    a) Terma-terma dan syarat-syarat yang mengehendaki pengurusan SYABAS
    yang profesional, berkebolehan dan efisien akan dimuktamadkan di dalam
    Perjanjian Pemegang Saham yang akan ditandatangani di antara pemegang
    ekuiti SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor; dan
    b) Model PAAB dipersetujui untuk diterima oleh keempat-empat syarikat
    pemegang konsesi air negeri Selangor.
    Antara 16 Mac 2010 hingga 23 Mac 2010, pihak KTTHA telah membuat rundingan
    bersama kesemua syarikat konsesi air bagi memaklumkan nilai untuk
    pengambilalihan oleh PAAB. Kesemua syarikat konsesi air diberi tempoh sehingga
    06 April 2010 untuk memberikan maklum balas ke atas tawaran tersebut.
    Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat Jawatan Kuasa Penstrukturan pada 22 April
    2010, SPLASH dan ABASS memaklumkan bahawa mereka menolak tawaran oleh
    KTTHA tersebut, manakala SYABAS dan Puncak Niaga mengemukakan cadangan
    balas. Memandangkan Model PAAB juga tidak diterima oleh kesemua Pemegang
    Konsesi Air, Kerajaan Negeri berpandangan, maka Model yang dicadangkan oleh
    Kerajaan Persekutuan menerusi PAAB adalah gagal.
    Lanjutan dari kegagalan semua Model yang dicadangkan tersebut, Jawatan Kuasa
    Induk Penstrukturan semula telah memutuskan untuk bekerjasama dengan Kerajaan
    Negeri bagi mengenal pasti Model baru yang akan mengambil kira semua
    pandangan dari Pemegang Konsesi. Kerajaan Negeri Selangor ketika itu diminta
    untuk berbincang dengan PAAB mengenai Model yang dicadangkan. Model baru
    yang dipersetujui di dalam perbincangan bersama PAAB adalah Model Holistik di
    mana PAAB akan menyediakan nilai untuk mengambil alih aset dari Pemegang
    Konsesi dan Kerajaan Negeri akan bertanggungan menyediakan dana bagi
    membayar nilai ekuiti bagi mengambil alih perniagaan Pemegang Konsesi.
    Sekiranya Model ini berjaya dilaksanakan, maka kesemua perjanjian konsesi dengan
    Pemegang Konsesi akan ditamatkan dan operasi rawatan dan pembekalan air akan
    dilaksanakan oleh satu operator yang merupakan syarikat SPV yang akan dimiliki
    oleh Kerajaan Negeri Selangor.
    Namun demikian, sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan baru sama ada
    Model yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Selangor dan PAAB akan
    dipersetujui untuk dilaksanakan. Apa jua keputusan akhir sama ada Model holistik
    negeri Selangor akan diterima pakai adalah tertakluk kepada keputusan Jemaah
    Menteri. Ini adalah kerana melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)
    telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif
    berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan
    perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah
    Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.