Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

11) INDUSTRI PELANCONGAN DI PULAU KETAM DAN KAWASAN PERSISIRAN PANTAI SELANGOR

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan kerajaan untuk memajukan industri pelancongan di Pulau Ketam dan kawasan persisiran pantai Selangor memandangkan kawasan- kawasan ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan tersohor di seluruh dunia?

    Dalam Rancangan Tempatan Klang 2002 – 2015, telah merangka dan mencadangkan pulau-pulau di kawasan Klang sebagai destinasi pelancongan yang berunsurkan elemen semulajadi seperti program penerokaan hutan paya bakau dan program penyelidikan hidupan laut. Bagi Pulau Ketam, Kerajaan Negeri melalui pihak Majlis Perbandaran Klang ( MPK ) telah merancang untuk menjadikan Pulau Ketam sebagai pusat makanan laut yang tersohor dan menjadikan aset-aset sedia ada sebagai pemangkin kepada pembangunan bagi menarik minat kehadiran lebih ramai pengunjung.

    Justeru itu, perancangan jangka pendek dan panjang telah dibentuk seperti cadangan untuk menaik taraf kemudahan jeti, rumah penginapan dan kemudahan asas khususnya yang melibatkan kemudahan utiliti, sistem kumbahan, sistem komunikasi ( jalur lebar ) dan kemudahan bekalan air terawat serta bekalan tenaga elektrik yang mencukupi. Malah, terdapat cadangan untuk mewujudkan Homestay di kawasan Pulau Ketam yang akan menjadi Homestay Cina pertama di negeri Selangor. Namun begitu, cadangan ini perlu diteliti dan dikaji terlebih dahulu terutamanya dengan mengambi kira kemudahan dan asetaset sedia ada untuk membentuk satu program homestay yang benar-benar berkesan dan mampu menarik minat pengunjung.

    Bagi kawasan persisiran pantai di Selangor, Kerajaan Negeri melalui semua Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) telah memainkan peranan yang cukup baik. Sebagai contoh, melalui pihak Majlis Perbandaran Sepang ( MPSp ), pelbagai program telah disusun dan dilaksanakan. Antaranya ialah melalui penyelenggaraan secara berkala dari segi infrastruktur awam yang melibatkan kemudahan seperti tandas, surau, medan selera, taman permainan, lampu jalan, papan tanda dan landskap.

    Selain itu, kerja-kerja pembersihan awam di persekitaran pantai melalui kontraktor yang dilantik juga dilaksanakan secara berjadual. Tidak ketinggalan pelaksanaan aktiviti-aktiviti promosi seperti penganjuran Larian Pantai Bagan Lalang yang dianjurkan setiap dua tahun sekali bagi mempromosikan keunikan dan keindahan pantai Bagan Lalang kepada pengunjung dan orang awam. Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui UPEN telah menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan dan Resort Bagan Lalang bagi memberikan pilihan penginapan yang baik dan selesa kepada pengunjung.

    Bagi Sabak Bernam, pihak Majlis Daerah Sabak Bernam ( MDSB ) telah mengadakan kerjasama dengan pihak Lembaga Urus Air Selangor ( LUAS ) dengan mewujudkan Pelan Pengurusan Bersepadu Pantai ( ICM ) dalam melaksanakan pelan pengezonan pantai. Ia sebagai langkah memaju dan melaksanakan aktiviti yang bersesuaian di kawasan persisiran pantai di daerah Sabak Bernam. Ini merangkumi aktiviti pelancongan, perikanan, pusat-pusat peranginan dan sebagainya.

    Melalui Tourism Selangor pula, promosi-promosi dalam dan luar negara terhadap produk-produk pelancongan sedia ada di kawasan persisiran pantai Selangor sentiasa diberikan perhatian. Produk-produk seperti Golden Palm Tree ( Sepang Gold Coast ), Morib Gold Coast dan Kelong Paradise Sabak Bernam menjadi antara produk yang menjadi pilihan pelancong tempatan dan asing. Promosi-promosi ini meliputi penyertaan dalam pameran pelancongan, penerbitan risalah, VCD, terbitan dan pengiklanan di majalah dan melalui pelaksanaan dan penganjuran acara-acara pelancongan. Malah produk seperti Golden Palm Tree, telah terpilih menjadi salah satu daripada ikon pelancongan bagi negeri Selangor dan Kelong Paradise menjadi kelong terbesar di rantau Asia dan menjadi pilihan para pemancing dari seluruh negara.

    Beberapa kawasan di persisiran pantai Selangor juga sangat berpotensi dimajukan sebagai antara lokasi riadah keluarga. Lokasi seperti Pantai Batu 23 Sungai Nibong dan Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam, Pantai Remis di Kuala Selangor, Morib dan Pantai Klanang di Kuala Langat merupakan antara lokasi-lokasi pilihan orang ramai. Kerajaan Negeri melalui UPEN dan PBT telah melaksanakan penambahbaikan kemudahan-kemudahan seperti gerai, wakaf, padang dan taman permainan, lampu jalan dan lanskap di beberapa lokasi seperti di Pantai Remis dan Pantai Bagan Nakhoda Omar.

Lampiran

Tiada Lampiran.