Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

139) INDUSTRI SURIA

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Dengan peningkatan kos tenaga di seluruh dunia, alternatif lain perlu difikirkan bagi mengatasi masalah tersebut. Tenaga suria yang banyak patut dieksploitasi bagi pembekalan tenaga dan penggunaannya secara meluas. Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam hal penggunaan tenaga suria bagi mengatasi kos tinggi bekalan tenaga sedia ada?

    Tenaga suria/solar diperoleh daripada pancaran matahari dan sinarannya merupakan tenaga radiasi yang sampai ke bumi. Tenaga ini kemudian dieksploitasi menjadi tenaga alternatif seperti haba dan elektrik. Penggunaan tenaga solar sebagai tenaga alternatif di Malaysia adalah amat terhad dan ini mendorong pihak Kerajaan mengambil inisiatif di dalam melaksanakan kajian dan pembangunan industri tersebut.

     

    Kajian penggunaan dan aplikasi teknologi solar ‘photovoltaic’(PV) yang disambung ke grid (grid-connected PV system) telah dimulakan sejak tahun 1998. Usaha tersebut dilaksanakan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui TNB Research Sdn.Bhd. Kajian lanjutan berhubung potensi aplikasi ‘grid-connected solar PV’ yang dipasang pada bangunan telah dilaksanakan pada tahun 2003 secara usaha sama oleh pihak Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) dan United Nations Development Programme (UNDP) mengesahkan potensi tenaga solar di Malaysia melalui sistem ‘building integrated photovoltaic’ (BIPV) adalah sekurangnya 6,500MW.

     

    Buat masa ini Kerajaan Negeri Selangor akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan memandangkan masih di peringkat kajian bagi menentukan kesesuaian, kos dalam menentukan perancangan dan pelaksanaan penggunaan tenaga suria di Malaysia. Dalam membantu peningkatan penggunaan solar di Negeri Selangor, pihak Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaburan pihak Q-Cells daripada negara Jerman sebanyak RM 2.6 billion bagi menghasilkan produk berkaitan sistem solar di Sepang, Selangor. Oleh itu, kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dengan pihak MIDA dan khidmat nasihat   daripada pihak Pusat Tenaga Malaysia (PTM) adalah penting bagi mewujudkan koordinasi pelaburan mantap serta menyediakan insentif-insentif lain seperti tanah, air, infrastruktur dan terutamanya tenaga mahir bagi menarik minat pelabur dalam industri solar di Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.