Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

17) INFRASTRUKTUR DAN KERJA MEMBAIKPULIH PRASARANA KEMUDAHAN KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah mekanisme Jabatan Pembangunan Unit Perancang Ekonomi berkenaan dengan infrastruktur dan kerja membaikpulih prasarana kemudahan kampung tradisi seperti dewan orang ramai, balairaya dan jalanraya kampung yang kebanyakkan dalam keadaan yang tidak memuaskan serta kerosakan yang teruk?

    Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjamin kepentingan pembangunan luar bandar, sebanyak RM6 juta telah diluluskan pada tahun 2019 bagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam/ asas luar bandar melibatkan naiktaraf/ baikpulih jalan luar bandar, longkang, dewan serbaguna, balairaya dan lain-lain. Bagi memastikan pembangunan luar bandar ini dilaksanakan secara dinamik dan mampan, Kerajaan Negeri komited supaya peruntukan bagi pembangunan luar bandar ini diteruskan setiap tahun dan kerja-kerja bagi naiktaraf dan baik pulih dilaksanakan secara berperingkat supaya kemudahan awam/asas di luar bandar ini berada di dalam keadaan yang baik.

     

    Mengenai mekanisme pelaksanaan pula, setiap lapisan masyarakat sama ada rakyat, ketua kampung atau pun YB boleh menyalurkan aduan kepada Pejabat Daerah/Tanah yang merupakan agensi penghubung antara Kerajaan Negeri dan juga penduduk. Pejabat Daerah/Tanah kemudiannya akan menyemak aduan tersebut dan seterusnya membuat permohonan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk kelulusan. Ini adalah untuk memastikan permohonan bagi pelaksanaan pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan tersusun termasuklah mengambil kira peruntukan sedia ada dan kepentingan projek kepada rakyat.

     

    Kerajaan Negeri juga ada menyediakan inventori bagi jalan-jalan luar bandar dan kampung bagi seluruh Negeri Selangor. Pejabat Daerah/Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan akan mendaftarkan jalan-jalan di bawah seliaan masing-masing bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf dapat dilaksanakan sama ada melalui peruntukan Kerajaan Negeri, MARRIS, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) atau pun melalui peruntukan Program Mesra Rakyat (PMR) di bawah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri. Sebanyak RM2 juta diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen, sehubungan itu setiap Ahli Dewan Negeri boleh bekerjasama dengan Ahli Parlimen kawasan masing-masing dalam perkara ini.

     

    Setiap tahun peruntukan MARRIS yang disediakan oleh Kementerian Kewangan akan disalurkan kepada Pejabat Daerah/Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Bagi tahun 2019, selain daripada peruntukan Kerajaan Negeri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar ada juga menyediakan sebanyak RM3.5 juta untuk program Jalan Penghubung Desa.

Lampiran

Tiada Lampiran.