Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

118) INISIATIF MES

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan maksud inisiatif dan bentuk program yang bertepatan dengan inisiatif MES: i) Kebajikan anak Selangor ii) Meringankan kos sara hidup iii) Mengiktiraf kecemerlangan iv) Bantuan kematian v) Penerapan budaya usahawan, dan vi) Menyediakan pusat krisis sehenti (osc).

    Kebajikan anak Selangor
    Kebajikan anak Selangor adalah sangat penting bagi Kerajaan Negeri Selangor. Justeru
    itu, program-program yang dapat memberi kebajikan kepada anak Selangor telah
    diwujudkan seperti Program Hadiah Anak Masuk Universiti di mana Kerajaan Negeri
    akan memberikan wang tunai RM1,000 kepada anak Selangor yang mendapat tempat di
    Institusi Pengajian Tinggi, tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan. Ini bertujuan
    untuk memberi kemudahan dan menampung keperluan semasa bakal pelajar apabila
    mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi nanti.
    Program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) juga diwujudkan bagi memberi
    kebajikan kepada rakyat Selangor dengan memberi perlindungan insurans sehingga
    berusia 18 tahun. Pada usia 18 tahun, semua anak Selangor ini berpeluang menerima
    RM1,500 seorang hasil caruman di dalam pelaburan ini.
    ii) Meringankan kos sara hidup
    Seperti yang kita sedia maklum, taraf hidup akan semakin meningkat selari dengan
    keadaan ekonomi semasa dunia. Oleh itu, program Bekalan Air Percuma Bagi 20 Meter
    Padu diwujudkan bagi membolehkan rakyat negeri Selangor yang mempunyai meter
    individu terus menikmati bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu. Kerajaan negeri
    berusaha meneruskan program air percuma ini kerana ia ternyata membantu
    mengurangi beban kewangan rakyat dalam perbelanjaan utiliti yang semakin meningkat.
    iii) Mengiktiraf kecemerlangan
    Program Hadiah Anak Masuk Universiti juga boleh diklasifikasikan sebagai program
    yang dapat mengiktiraf kesemerlangan rakyat Negeri Selangor kerana pemberian
    hadiah RM1,000 merupakan satu penghargaan kepada bakal pelajar yang berjaya
    mendapatkan tempat di Intitusi Pengajian Tinggi.
    iv) Bantuan kematian
    Salah satu program yang memberi bantuan kematian kepada rakyat Negeri Selangor
    adalah Program Skim Mesra Usia Emas. Ia bertujuan bagi membantu mengurangi
    beban kewangan waris warga emas di Negeri Selangor untuk memastikan agar setiap
    warga emas dan orang kurang upaya (OKU) diberi penghargaan dan penghormatan
    yang terbaik dan berpatutan.
    v) Penerapan budaya usahawan
    Bagi menjayakan inisiatif penerapan usahawan ini, program-program seperti Bantuan
    Kepada Peniaga Muda dan Bimbingan Perniagaan Kepada Belia akan diwujudkan bagi
    membantu membimbing usahawan-usahawan muda memulakan perniagaan mereka.
    Program-program ini bakal dilaksanakan dalam Fasa 2 mengikut kesesuaian masa yang
    akan ditetapkan.
    vi) Menyediakan pusat krisis sehenti (OSC)
    Program Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) diwujudkan bertujuan untuk membantu
    golongan wanita dan kanak-kanak khususnya bagi kes-kes seperti rogol, liwat,
    keganasan rumah tangga, penderaan dan sebagainya. Pusat ini bertindak sebagai first
    respondent/point of contract bagi kes-kes yang dinyatakan di atas. Terdapat 6 buah
    Pusat Khidmat Krisis Sehenti diwujudkan di Selangor, iaitu di Hospital Ampang, Hospital
    Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Klang dan Hospital
    Kajang.

Lampiran

Tiada Lampiran.