Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

44) INSENTIF DAN PROGRAM BARU PeBT

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program baru yang boleh menarik seramai mungkin belia untuk membangunkan diri di bawah PeBT?

    Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan sentiasa mencari pembaharuan dan amat menitikberatkan aspek pembangunan generasi muda dan sukan dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang sentiasa berdaya saing, bersatu-padu, bekerjasama, berwawasan, aktif dan sihat sejajar dengan arus pembangunan pada masa kini.

    Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan akan memulakan satu inisiatif baru iaitu Sahabat Gen-S. Sahabat Gen-S yang akan diperkenalkan bertujuan untuk menarik penglibatan Generasi Muda terutamanya di Selangor dalam bentuk kesukarelawanan dan aktiviti kemasyarakatan selaras dengan Dasar Belia Selangor. Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk mendidik dan memupuk nilai-nilai murni di kalangan generasi muda untuk sentiasa memberi khidmat kepada rakyat Selangor secara sukarela.

    Di samping itu, pemerkasaan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga akan diperkukuhkan menerusi program dan latihan selaras dengan kehendak Generasi Muda Selangor. Antara program dan latihan yang akan dianjurkan adalah Program Latihan Pemantapan Organisasi dan Kepimpinan dalam usaha untuk melahirkan PeBT yang sentiasa berkaliber, komited dan mempunyai pemikiran yang luas ke arah pembangunan generasi muda sebagai penggerak kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

    Seterusnya, Program Le Tour De Selangor akan dilaksanakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mampu menarik lebih ramai penglibatan golongan generasi muda dalam aktiviti berbasikal yang semakin diminati dalam usaha untuk melahirkan golongan generasi muda yang aktif dan sihat.

    Selain itu, Program Liga Sukan Selangor Plus akan turut dilaksanakan dengan pembaharuan di mana penglibatan adalah di peringkat Penggerak Belia Tempatan (PeBT). Inisiatif ini adalah selaras dengan pelantikan PeBT yang baru di kalangan generasi muda yang berumur 30 tahun ke bawah yang mampu menarik lebih ramai golongan belia untuk menyertai 5 acara sukan yang akan dipertandingkan iaitu tarik tali, futsal, bola jaring 3 on 3, bola keranjang 3 on 3 dan sepak takraw antara regu. Dengan adanya program sukan sebegini, ia mampu untuk menarik minat golongan belia untuk bergiat dalam aktiviti sukan dan seterusnya dapat melahirkan generasi yang aktif dan sihat.

Lampiran

Tiada Lampiran.