Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

197) INSENTIF KERAJAAN DITAWARKAN KEPADA PENGUSAHA INDUSTRI KECIL SEDERHANA

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah insentif kerajaan yang ditawarkan kepada pengusaha-pengusaha Industri Kecil Sederhana?

    Soalan (a) dijawab bersekali dengan soalan (a) daripada Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus (Kuang)

    1. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. Kerajaan Negeri Selangor tidak menghadkan bantuan yang ditawarkan kepada usahawan di negeri ini. Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan menyediakan insentif berbentuk geran dan program promosi dan latihan pembangunan Usahawan. Program-program yang dijalankan bagi membantu usahawan tempatan adalah seperti berikut:

     

    1. Dana Usahawan Mikro Selangor

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan memberikan bantuan kepada industri mikro di mana ia ditakrifkan sebagai perniagaan dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300,000.00 dan mempunyai 2 hingga 5 orang pekerja tetap. Fokus Pembangunan Usahawan adalah untuk memberi bantuan kepada pengusaha mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana Usahawan Mikro Selangor merupakan program khas yang memberi focus untuk membantu usahawan – usahawan Industri Mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

    • Skop Bantuan

    Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak. Seorang pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Skop bantuan adalah seperti berikut:

     

    • Bantuan pembelian mesin / peralatan / perkakasan;
    • Meningkatkan kualiti            premis/perniagaan            iaitu mengubahsuai/menaiktaraf;
    • Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahwan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;
    • Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP,HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan
    • Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di negeri Selangor.

     

    • Promosi

    Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di Negeri Selangor adalah melalui kegiatan promosi. Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah menerima jemputan untuk menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Expo (SIE) dan Malaysia Halal Festival (HALFEST). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor. Penganjuran ekspo dan pameran ini telah memberi ruang kepada usahawan dalam meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa.

     

    • Kursus/Latihan

    Kursus yang dijalankan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan adalah merangkumi latihan yang memberi fokus kepada pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan, pemantapan produk dan strategi pemasaran.

    1. Program Peningkatan Keupayaan Reka Bentuk Pembungkusan Produk Usahawan Negeri Selangor (4P)

    Untuk membawa produk ke tahap yang lebih tinggi Kerajaan Negeri telah mengadakan program ini khususnya kepada usahawan yang sudah bersedia meluaskan pasaran ke pasaraya rantaian dan ke

     

    peringkat antarabangsa. Program kerjasama dengan SIRIM ini memberi peluang kepada peserta untuk mengikuti program yang telah direncana khas bagi pemabngunan pembungkusan produk. Peserta juga akan menerima pensijilan produk, carian jenama dan cetakan pembungkusan.

    1. Pinjaman HIJRAH Selangor

    Agensi ini menawarkan pinjaman kepada usahawan di peringkat permulaan. Ia merangkumi tiga perkhidmatan dalam satu urusniaga yang meliputi pinjaman, tabungan dan pelaburan. Pinjaman ini menawarkan modal tambahan secara berperingkat bermula dari RM3,000.00 sehingga RM40,000.00.

Lampiran

Tiada Lampiran.