Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

59) INSENTIF PELAJARAN IPT

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sehingga kini berapa jumlah wang sudah dikeluarkan kepada pelajar IPTA dan berapa jumlah kepada pelajar IPTS?

    Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) merupakan Urus Setia yang
    bertanggungjawab untuk menguruskan proses pelaksanaan Dasar Baru Kerajaan
    Negeri berkaitan permohonan Hadiah Pengajian IPT, berdasarkan keputusan Majlis
    Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 15/2008 yang bersidang pada 11 Jun 2008.
    Sehubungan itu, BPSM telah melaksanakan proses permohonan tersebut berpandukan
    syarat-syarat kelayakan yang telah dipersetujui oleh MMKN seperti berikut:
    (i) Permohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja;
    (ii) Pemohon juga merupakan Rakyat DYMM Sultan Selangor yang
    memenuhi kriteria seperti berikut:
    (a) Pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
    (b) Ibu atau Bapa pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
    (c) Pemohon lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974;
    (iii) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk memasuki Tahun Pertama
    (Semester Pertama) mulai Julai 2008 (sesi pengajian 2008/2009) sahaja;
    (iv) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian secara
    sepenuh masa (full-time courses) di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh
    Kerajaan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana muda dan Diploma
    sahaja;
    (v) Pemohon telah pun mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi
    pengajian; dan
    (vi) Pemohon daripada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah.
    Dasar Baru Hadiah Pengajian IPT ini telah mula dilaksanakan berkuat kuasa pada 1
    Julai 2008 yang lalu. Setakat 30 September 2008, BPSM telah menerima sebanyak
    3,784 permohonan daripada pelajar untuk mendapatkan insentif berjumlah RM1,000
    sepertimana yang ditawarkan.
    Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 2,725 permohonan didapati layak
    untuk dipertimbangkan (jumlah keseluruhan bagi pelajar IPTA dan IPTS) bagi
    menerima insentif tersebut. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan kos
    berjumlah RM2.454 juta (telah dibayar kepada pelajar) bagi membiayai program dasar
    baru tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.