Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

61) INSTITUSI PWB

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sama ada terdapat wakil rakyat memegang jawatan dalam Institusi PWB Selangor?

    Institut Wanita Berdaya (IWB) bertindak sebagai sebuah badan pemikir kepada Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga. Penubuhan IWB ini berperanan dalam merencana dasar, polisi dan strategi ke arah kemajuan dan pemberdayaan wanita demi merealisasikan pembangunan Negeri Selangor yang inklusif, lestari dan adil.

    Selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 9/2017 yang diadakan pada 08 Mac 2017 yang telah disahkan oleh MMKN ke 10/2017 pada 15 Mac 2017 yang lalu, struktur organisasi IWB adalah dianggotai oleh Yang Berhormat Puan Zuraida Binti Kamarrudin, Ahli Parlimen Ampang yang bertindak sebagai Penasihat IWB. Manakala Ahli Lembaga Pengarah IWB pula adalah terdiri daripada dua (2) orang wakil rakyat iaitu Yang Berhormat Puan Haniza Mohamed Talha, ADUN Taman Medan dan saya sendiri, Yang Berhormat Puan Dr. Daroyah Binti Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor merangkap ADUN Sementa.

    Selain daripada itu, IWB ini akan turut dianggotai oleh golongan pakar dan professional yang akan dikenalpasti bagi bersama-sama membincangkan, merencana dan memberi nilai tambah dalam isu-isu berkaitan pembangunan wanita demi memartabatkan wanita di Selangor. IWB juga akan mengenal pasti wakil daripada golongan lelaki sebagai ahli jawatankuasa supaya dasar-dasar yang akan diketengahkan nanti mengambil kira semua aspek untuk mengelakkan gender bias supaya potensi peranan wanita digembling untuk membangunkan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.