Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

195) INSTITUT WANITA BERDAYA – IWD

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah proses yang dilaksanakan bagi pembentukan dasar IWD?

    a, b) dan c)

    Institut Wanita Berdaya (IWB) bertindak sebagai sebuah badan pemikir kepada Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga. Penubuhan IWB ini berperanan dalam merencana dasar, polisi dan strategi ke arah kemajuan dan pemberdayaan wanita demi merealisasikan pembangunan Negeri Selangor yang inklusif, lestari dan adil.

    Satu Kertas Exco-MTES berkaitan penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) telah pun dibentangkan bagi tujuan pertimbangan dan kelulusan Kerajaan Negeri. Cabutan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 9/2017 yang diadakan pada 08 Mac 2017 yang telah disahkan oleh MMKN ke 10/2017 pada 15 Mac 2017 yang lalu juga bersetuju meluluskan penubuhan IWB yang telah dicadangkan.

    Cadangan dasar yang bakal diketengahkan oleh IWB akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan. Dasar yang terbentuk akan menjadi dasar Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha Kerajaan Negeri mengangkat martabat wanita khususnya wanita Selangor di mata dunia.

    Sebagai makluman, struktur organisasi IWB adalah dianggotai oleh seorang Penasihat iaitu Yang Berhormat Puan Zuraida Binti Kamarrudin, Ahli Parlimen Ampang, beserta dua orang Ahli Lembaga Pengarah iaitu Yang Berhormat Puan Haniza Mohamed Talha, ADUN Taman Medan dan saya sendiri, Daroyah BintiAlwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor merangkap ADUN Sementa.

    Di peringkat menerajui pengoperasian IWB, seorang Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Puan Rabiah Omar telah dilantik dengan dibantu oleh seorang Pembantu Peribadi. Selain daripada itu, IWB ini akan turut dianggotai oleh golongan pakar dan professional yang akan dikenalpasti bagi menerajui portfolio Penyelidikan, Dasar Dan Program (2 orang) dan portfolio Kewangan, Pentadbiran Dan Sumber Manusia (1 orang).

    Matlamat utama IWB adalah bagi meningkatkan status sosio-ekonomi wanita di Negeri Selangor dan mempercepatkan keupayaan wanita dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan. Oleh yang demikian, terdapat beberapa objektif penubuhan IWB yang dilihat penting bagi merealisasikan matlamat ini yang mana antara objektif penubuhannya adalah seperti berikut :

     

    • Memaksimakan potensi dan kapasiti wanita ke arah pemberdayaan sosio- ekonomi diri dan kolektif;

     

    • Mempertingkatkan dan mempercepatkan kapasiti kepimpinan dan pembuatan keputusan wanita ke arah pembinaan masyarakat yang adil dan seimbang;

     

    • Meningkatkan status sosio-ekonomi wanita meliputi sumber daya hidup, keselamatan dan kesihatan mereka;

     

    • Memastikan dasar dan pelaksanaan program Kerajaan Negeri Selangor ke arah mempertahankan martabat dan maruah wanita sebagai agen perubahan dalam pembangunan Negeri Selangor;

     

    • Mengenalpasti isu-isu semasa dunia yang memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat di Selangor; dan

     

    • Mempertingkat dan memperluaskan fungsi dan aktiviti Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi kebaikan penduduk

     

    Oleh yang demikian, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah akan memastikan segala dasar dan program-program melalui IWB adalah komprehensif dan mencapai objektif penubuhannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.