Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

211) INTEREST PINJAMAN HIJRAH

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah faktor Kerajaan Negeri mengenakan sehingga 8% interest dan takaful RM6.00 setahun untuk setiap RM1,000.00 Pinjaman Hijrah?

    Program Hijrah Selangor tidak mengenakan interest atau kadar faedah kepada peminjam sebaliknya hanya mengenakan caj khidmat kepada usahawan yang mendapat pinjaman dan khidmat nasihat daripada Hijrah Selangor. Pihak Pengurusan Hijrah Selangor telah menetapkan caj perkhidmatan sebanyak 8% kerana dana pinjaman yang diberikan oleh kerajaan negeri tidak akan digunakan untuk perbelajaan pengurusan. Sekiranya digunakan, ia akan menguncup (berkurangan) dari tahun ke tahun. Sebaliknya dana tersebut akan digunakan 100% untuk pinjaman kepada usahawan.

    Faktor-faktor yang menyebabkan caj caj 8% dikutip adalah seperti berikut:

    • Menampung kos pengurusan meliputi bayaran gaji dan elaun kakitangan seramai 233 untuk membuat kutipan dan pemantauan perniagaan, sewaan dan ubahsuai pejabat, peralatan pejabat, dan bil-bil utiliti.
    • Pegawai Hijrah akan ke premis peminjam untuk membuat kutipan bayaran balik, peminjam tidak perlu datang bayar di pejabat.
    • Kelulusan pinjaman akan diberikan sepenuhnya kepada peminjam tanpa membuat sebarang pemotongan. (contoh: lulus RM5,000.00, peminjam akan dapat penuh sebanyak RM5,000.00.)
    • Latihan dan kursus-kursus keusahawanan serta anak-anak usahawan diberi secara percuma tanpa sebarang bayaran dikenakan.
    • Dan lain-lain program yang dilaksanakan diberi secara percuma dengan bantuan Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan Dan Pembangunan Usahawan dan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi Dan Inovasi.
    • Mulai tahun 2017, dana yang diterima daripada Kerajaan Negeri Selangor berbentuk pinjaman yang perlu dibyar semula oleh Hijrah Selangor dalam tempoh tertentu.
    • Kebanyakan Pinjaman mikrokredit yang dikeluarkan oleh lain-lain agensi dan bank-bank komersial caj yang dikenakan melebihi 10% kecuali TEKUN yang mengenakan caj pengurusan sebanyak 4%. Walaubagaimanapun, pihak TEKUN telah membuat pemotongan berikut daripada jumlah pinjaman usahawan.
    • Caj Proses Pinjaman
    • Insuran
    • Kursus Keusahawanan
    • Bayaran Awal 2 Bulan

    Takaful RM6.00 setahun untuk setiap RM1,000.00 pinjaman Hijrah dikenakan kepada peminjam Hijrah bagi tujuan berikut :

    1. Perlindungan Baki Hutang (Hutang dan tunggakan akan dibayar oleh syarikat insuran)

    Manfaat ini disediakan apabila peserta yang menyertai tabung ini meninggal dunia disebabkan oleh kematian biasa, kemalangan, penyakit dan ianya berlaku di dalam tempoh penyertaan. Jumlah manfaat tabung ini adalah berdasarkan kepada jumlah baki pembiayaan semasa. Hutang dan tunggakan peserta ini akan dibayar oleh syarikat insuran.

    1. Manfaat Pengkebumian

    Tabung ini juga menyediakan manfaat pengkebumian sebanyak RM1,500.00untuk setiap pencarum.

    • Manfaat Keilatan Kekal Menyeluruh

    Keilatan kekal menyeluruh bermakna keilatan yang disebabkan oleh kemalangan atau penyakit yang sama sekali menghalang peserta daripada melibatkan diri dalam mana mana bentuk pekerjaan sama ada makan gaji atau bekerja sendiri. Untuk menentukan sama ada keilatan kekal menyeluruh itu menjadi kekal, keilatan tersebut mestilah berterusan tanpa gangguan selama enam (6) bulan dan ianya mula terjadi selepas permohonan pembiayaan dengan HIJRAH diluluskan.

Lampiran

Tiada Lampiran.