Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

91) ISU BANJIR DI BLUEWATER ESTATE SERI KEMBANGAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana dan bila Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan isu banjir di Bluewater Estate Seri Kembangan?

    Kawasan Bluewater Estate berada di dalam Lembangan Sungai Kuyoh. Aliran air dari Bluewater Estate mengalir masuk ke Sungai Patiliat. Kesan aliran balik Sungai Kuyoh menyebabkan Sungai Patiliat mengalami limpahan dan menyebabkan banjir di kawasan Bluewater Estate.

    Jabatan ini telah mengambil tindakan jangka pendek dan jangka panjang seperti berikut:

    Tindakan Jangka Masa Pendek:

    1. Menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berkala ke atas Sungai Patiliat setiap tahun bermula dari tahun 2019. Skop kerja yang dijalankan adalah pengorekan sungai, pemotongan rumput dan pembersihan sampah dan dibuat sebanyak 12 pusingan setahun.
    2. Menjalankan kerja-kerja penyenggaraan berkala ke atas kolam takungan bluewater setiap tahun bermula dari tahun 2019. Skop kerja yang dijalankan adalah pengorekan kolam (Desilting), pemotongan rumput dan pembersihan sampah dan dibuat sebanyak 12 pusingan setahun.

     

    Tindakan jangka masa panjang:

    1. Melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf kolam takungan bluewater. Jabatan sedang menyediakan kajian dan pelan rekabentuk dan dijangka siap pada Februari 2021. Kerja-kerja fizikal akan dimulakan sebaik sahaja rekabentuk siap dan tertakluk kepada kelulusan peruntukan tahun 2021.
    2. Pelaksanaan projek tebatan banjir Sungai Kuyoh melalui peruntukan persekutuan dengan kos projek sebanyak RM 400 juta telah diluluskan. Status terkini projek adalah dalam peringkat pelantikan perunding rekabentuk. Projek akan ditender pada 2021 dan dijangka akan disiapkan pada Tahun 2024 (Tempoh pelaksanaan projek – 3 Tahun).

Lampiran

Tiada Lampiran.