Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

29) ISU ‘FOOD TRUCK’ DI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Lai Nyuk Lan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan untuk mengecualikan bayaran permit 'food truck' di Selangor untuk membantu golongan belia lebih ramai dalam bidang ini ?

    Berdasarkan Bengkel Garis Panduan Trak Makanan Bergerak yang telah diadakan pada 13 hingga 15 April 2016 bertempat di Hotel Royal Chulan Damansara, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi di bawah Negeri Selangor telah sebulat suara mengangkat satu Garis Panduan yang seragam untuk diguna pakai oleh semua PBT di seluruh Negeri Selangor. Kadar bayaran fi adalah RM0.50/jam dan sewa tapak adalah RM0.80/jam. Setiap sesi jualan adalah selama 4 jam bersamaan RM5.20/sesi. Fi ini tidak termasuk untuk caj-caj lain yang dikenakan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Jika dianggarkan operasi adalah 5 kali semingu untuk sebulan, caj fi hanya RM104.00/bulan sahaja. Manakala, cagaran fi sampah sebanyak RM120.00 akan dikenakan di setiap PBT. Jumlah keseluruhan fi hanya RM224.00 dan fi cagaran akan dipulangkan semula bergantung kepada kebersihan tapak niaga. Caj bayaran fi yang dikenakan adalah berpatutan berbanding harga makanan yang dijual oleh peniaga food truck yang boleh mencecah sehingga RM25.00 bagi setiap set makanan.

    Bagi membantu lebih ramai golongan belia di dalam bidang perniagaan food truck Kerajaan Negeri ada menyediakan bantuan Dana Usahawan Mikro bagi membeli peralatan dan mesin perniagaan. Manakala, pada tahun 2018 HIJRAH Selangor telah memperkenalkan bantuan pinjaman bagi trak bergerak. Terdapat 2 jenis bantuan trak bergerak iaitu Mobile cart dan Daihatsu Hijet Pickup (Japan). Mobile cart merupakan trak tunda yang bersaiz lebih kecil dan mudah dikendalikan dan berkeluasan 8 kaki panjang dan 5 kaki lebar. Had bantuan pinjaman ini akan  diberi sehingga RM26,500.00 dan RM3,500.00 akan diberikan sebagai modal bahan mentah. Bagi Daihatsu Hijet Pickup (Japan) pula bersaiz 5  kaki panjang dan 4 kaki lebar. Bantuan pinjaman sehingga RM39,000.00 dan RM1,000.00 akan diberikan sebagai modal bahan mentah. Bantuan pinjaman bagi trak bergerak ini terbuka kepada semua jenis perniagaan. Proses permohonan akan mengambil masa 2 – 4 minggu bagi permohonan Mobile cart dan 4 – 6 minggu bagi permohonan Daihatsu Hijet Pickup (Japan).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.