Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

105) ISU HARGA RUMAH

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan Negeri Selangor bertindak untuk mengawal harga rumah yang semakin melambung terlalu tinggi dan menyukarkan rakyat untuk memiliki rumah sendiri?

    Untuk makluman YB, penetapan sesuatu harga rumah adalah ditentukan oleh pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan. Walau bagaimanapun, bagi memberi peluang kepada setiap rakyat untuk memiliki rumah sendiri, Kerajaan Negeri turut berusaha mengawal harga jualan rumah dengan menetapkan Dasar Pembangunan Tanah seperti berikut :

    1. Bagi pembangunan yang melebihi 10 ekar
      • Kawasan Lembah Klang akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana.
      • Kawasan Luar Lembah Klang pula akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana.
    2. Bagi pembangunan yang kurang daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar)
      • Syarat penyediaan 30% rumah kos sederhana akan dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang.

    Selain daripada penetapan komposisi pembangunan perumahan, harga jualan maksimum terhadap rumah mampu milik turut dibuat. Harga jualan rumah mampu milik ditetapkan pada kadar seperti berikut :

    Kawasan Jenis Bangunan Harga (RM)
    Dalam kawasan Majlis Perbandaran (Lembah

    Klang)

    20% rumah kos rendah 42,000.00
    20% rumah kos sederhana rendah 72,000.00
    10% rumah kos sederhana 100,000.00
    Lain-lain        jenis    bangunan kediaman Bebas
    Dalam Kawasan Majlis Daerah 20% rumah kos rendah 35,000.00
    20% rumah kos sederhana rendah 60,000.00
    10% rumah kos sederhana 85,000.00
    Lain-lain        jenis    bangunan kediaman Bebas
    Luar Kawasan Majlis Daerah / Majlis

    Perbandaran

    20% rumah kos rendah 30,000.00
    10% rumah kos sederhana rendah 50,000.00
    10% rumah kos sederhana 70,000.00
    Lain-lain        jenis    bangunan kediaman Bebas

    Di samping menggunapakai dasar pembangunan sedia ada, Kerajaan Negeri dari masa ke semasa sentiasa menambahbaik dan mengkaji semula dasar sedia ada tersebut termasuk memperkenalkan Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru. Ini merupakan satu alternatif kepada pemaju bagi menyediakan rumah mampu milik khususnya di kawasan-kawasan yang didapati kurangnya permintaan terhadap rumah kos rendah atau di kawasankawasan yang berlaku lebihan pembinaan rumah kos rendah. Melalui cara ini sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri dapat memperbanyakkan penyediaan rumah di bawah harga RM120,000 yang mampu dibeli dengan kemudahan yang lebih selesa berbanding rumah kos rendah.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, segala syarat penetapan komposisi pembinaan rumah dan harga jualan rumah ini dimasukkan dalam surat kelulusan pemberimilikan dan pembangunan tanah untuk tujuan pengawalan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor. Sebarang ketidakpatuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBN akan menyukarkan proses pindah milik daripada pemaju kepada pembeli pertama.

Lampiran

Tiada Lampiran.