Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

170) ISU HENTIAN BAS EKSPRESS PANTAI TIMUR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu penduduk sekitar untuk ke Pantai Timur untuk mengekalkan hentian bas ekspres Pantai Timur di Greenwood?

    Hentian Bas Sementara Greenwood telah ditamatkan operasi pada 8 Mac 2015 yang lalu dan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menetapkan bahawa semua operasi pengendali dan pengguna akan berpindah ke Hentian Bas Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Pihak SPAD juga memaklumkan bahawa penutupan dan perpindahan tersebut adalah disebabkan faktor:

    • Perkhidmatan bas ekspres yang teratur adalah perkhidmatan dari terminal ke terminal sebagi contoh dari Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bahru ke Terminal Bersepadu Selatan, BTS. Bas tidak dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di selain terminal.
    • Kondisi tapak lokasi di Greenwood yang tidak selesa dan kurang selamat kepada para penumpang.
    • kedudukan hentian terbabit yang menjadi punca kesesakan jalan raya terutama ketika mengambil dan menurunkan penumpang.

    Penyediaan terminal dan hentian perkhidmatan pengangkutan awam darat adalah di bawah bidang kuasa dan fungsi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri proaktif dengan menyuarakan isu ini dan bekerjasama dengan pihak SPAD bagi mencari penyelesaian terbaik. Pihak SPAD telah memaklumkan bahawa perancangan jangka panjang melalui pembinaan Terminal Bersepadu Timur (TBT) Gombak akan mampu membantu penduduk sekitar Greenwood sekaligus menyelesaikan isu hentian perkhidmatan bas ekspres dari/ke Pantai Timur.

Lampiran

Tiada Lampiran.