Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

72) ISU KAMPUNG TRADISI KANCHONG DARAT

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan EXCO Luar Bandar dan Kerajaan Tempatan berkenaan isu yang mana sebuah kampung tradisi Kanchong Darat Kuala Langat yang mempunyai keluasan penduduk dan jajahan yang luas bagi seorang ketua kampung?

    Kajian Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 yang telah dijalankan pada tahun 2017 telah mengenalpasti Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat sebagai sebuah kampung tradisi berpotensi warisan berkeluasan seluas 1,536.25 hektar dengan jumlah penduduk seramai 12,000 orang. Berdasarkan Cadangan Tindakan Strategik Khusus-1 (TSK-1) Tindakan 2, dicadangkan persempadanan semula kawasan kampung dengan pembentukan ‘kampung-kampung’ yang mana jumlah penduduknya kurang daripada sasaran ‘10,000 penduduk’.

     

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri melalui Kerajaan Negeri Selangor melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Penstrukturan Semula Kampung Dalam Bandar Negeri Selangor 2019-2023 (PTK Desa) yang melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta. Ianya memfokuskan kepada  27 buah kampung dalam bandar yang mana Kampung Kanchong Darat tidak termasuk dalam kajian ini.

     

    Sebagai permulaan, kajian ini menyediakan suatu pelan tindakan komprehensif perancangan termasuklah mengkaji aspek persempadanan semula kampung-kampung dalam bandar ini memandangkan terdapat sesetengah kampung ini menerima tekanan pembangunan yang tinggi serta mempunyai bilangan penduduk sehingga 100,000 orang seperti di Kampung Bukit Naga, Klang yang mana perlu diberi perhatian terlebih dahulu.

     

    Untuk makluman bersama, pihak yang berkaitan iaitu penduduk kampung / Yang Berhormat ADN Kawasan boleh mencadangkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan untuk memecahkan pentadbiran ataupun sempadan Kampung Tradisi  berkenaan namun perlulah memenuhi kriteria – kriteria yang dinyatakan di dalam Garis Panduan Dasar, Tatacara, Peraturan mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor seperti berikut:

     

    • Kampung tersebut merupakan sebuah Kampung Tradisi;
    • Pemecahan sebuah Kampung Tradisi sedia ada disebabkan oleh pendudukan sesebuah kampung asal terlalu padat;

     

    Sesebuah kawasan kampung juga perlu mempunyai kemudahan – kemudahan asas seperti masjid dan sekolah bagi keperluan penduduk. Pelbagai perkara juga perlu diperhalusi dan dipertimbangkan sebelum ianya diangkat sebagai satu keputusan kerana ianya melibatkan pelbagai pihak berwajib dan agensi yang akan terlibat sama di dalam membuat keputusan dasar tersebut.

     

    Selain daripada itu, ianya juga akan melibatkan pertambahan peruntukan pembangunan, peruntukan belanja mengurus dan pelbagai kemungkinan yang akan memberi implikasi kewangan kepada jabatan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.