Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

50) ISU KEBANJIRAN WARGA ASING DI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Semakin banyak warga asing tanpa izin yang menetap di Selangor. Apakah tindakan Kerajaan mengatasi isu kebanjiran warga asing tanpa izin yang tinggal di Selangor, khususnya kawasan Kampung Kayu Ara bawah DUN Bandar Utama?

    Keperluan pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan pembantu rumah masih menjadi keutamaan majikan di negara ini bagi melicinkan operasi perjalanan sektor terbabit. Kebergantungan negara kepada tenaga kerja warga asing sehingga Februari lalu dalam pelbagai sektor dianggarkan berjumlah 1.8 juta orang. Secara keseluruhan, Negeri Selangor menjadi tumpuan lambakan warga asing tanpa izin kerana banyak faktor termasuk faktor ekonomi. Pihak Jabatan Imigresen Negeri Selangor  menangani aduan dari orang awam melalui pelbagai sumber bagi mengesan keberadaan warga asing. Mengikut statistik aduan yang dipecahkan mengikut daerah, kawasan Kayu Ara adalah di bawah daerah Petaling yang mencatatkan aduan yang agak tinggi berbanding daerah-daerah lain di Selangor. Bilangan aduan yang dicatatkan pada tahun 2018 adalah sebanyak 1550 dan jumlah aduan yang telah diselesaikan sebanyak 267 kes. Daerah Petaling  khususnya kawasan Kayu Ara telah diberikan tumpuan dan buktinya pada bulan Januari tahun ini, Jabatan Imigresen Negeri Selangor telah melancarkan Ops Sapu dengan menghasilkan tangkapan seramai 28 orang. Pada bulan Februari  pula, Ops Kutip telah dilakukan di persekitaran kawasan perumahan Jalan Masjid yang mana telah melibatkan tangkapan seramai 30 orang pendatang asing .

    Manakala statistik keseluruhan pada tahun lepas yang berakhir pada 31 Disember  2018 adalah sebanyak 5,681 tangkapan. Secara amnya, sebanyak 889 operasi telah dijalankan  sepanjang tahun lepas, sejumlah 16,584 jumlah pemeriksaan telah dilakukan, seramai 5,550 tangkapan pati diperolehi dan 131 majikan telahpun diambil tindakan sama ada kompaun ataupun didakwa. Daerah Petaling dan Klang mencatatkan bilangan operasi penguatkuasaan terbanyak iaitu sebanyak 404 dan 203 berikutan aduan tertinggi  yang diterima bagi kedua-dua kawasan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.