Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

4) Isu Nelayan Kelas ‘B’

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Dikatakan lesen bot nelayan kelas 'B' akan dimansuhkan akhir tahun ini, adakah benar? Jikalau benar, apakah langkah Kerajaan Negeri untuk membantu kelompok nelayan ini?

    Lesen vesel menangkap ikan Zon B tidak akan dimasuhkan pada akhir tahun ini. Walaubagaimanapun Jabatan Perikanan Malaysia didalam Pelaksanaan Dasar Exit Policy Vesel Pukat Tunda Zon B. Pelaksanaan dasar ini telah bermula pada tahun 2008 di Negeri Kedah apabila Program ‘Buy Back’ vesel pukat tunda B dilaksanakan.

    Pada tahun 2014, YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan semua lesen vesel pukat tunda dibatalkan mulai pada 1 Januari 2016. Namun pelaksanaan dasar ini ditangguhkan, tetapi Jabatan telah mengambil langkah-langkah pengawalan yang lebih ketat ke atas penggunaan peralatan pukat tunda. Antara langkah-langkah kawalan yang telah diambil adalah sepertimana berikut:

    1. Penguatkuasaan saiz mata keroncong pukat tunda lebih 38 mm.
    2. Pemasangan alat pengesan vesel (AIS) di atas vesel Zon B.
    3. Pelaksanaan hukuman lebih berat untuk pencerobohan oleh vessel pukat tunda Zon B di bawah 5 batu nautika (Zon A-nelayan tradisi).
    4. Pengezonan semula kawasan penangkapan ikan di Pantai Barat bagi menangani konflik nelayan pantai dan nelayan komersial (Zon B,C dan C2).
    5. Pekeliling langkah-langkah kawalan pelesenan vesel:

     

    • Kawalan pindah milik – tidak dibenarkan pindah milik zon B dalam dalam zon yang sama. Wajib ke zon C jika pindah milik vesel.
    • Kawalan ganti kulit – vesel zon B tidak lagi dibenarkan ganti kulit ke zon yang sama, wajib bertukar ke zon C.
    • Galakkan berpindah zon dan tukar peralatan – menggalakkan pemilik vesel zon B berpindah zon secara sukarela. Jika pemilik masih hendak beroperasi di zon B, maka peralatan menangkap ikan perlu ditukar kepada peralatan tradisi seperti pukat hanyut atau bubu.

     

    Pada tahun 2018, Mesyuarat Jemaah Menteri telah mengarahkan agar exit policy ini dilaksanakan secara soft landing. Oleh yang demikian, Jabatan Perikanan Negeri Selangor sentiasa mengadakan perjumpaan dengan nelayan-nelayan yang terlibat didalam dasar exit policy ini dan memberi penerangan mengenai alternatif yang disediakan kepada mereka jika dasar exit policy ini dilaksanakan. Diantara alternatif yang dicadangkan adalah sepertimana berikut:

    • Vesel kekal di Zon B tetapi menukar peralatan menggunakan peralatan tradisi seperti bubu, pukat hanyut dan kail-mengail.
    • Buy Back vesel dengan nilai sekali bayar RM 200,000 (RMK-12).
    • Menggalakkan vesel Zon B (5 bn – 15 bn) yang kekal menggunakan peralatan pukat tunda untuk berpindah ke Zon C (15 bn ke atas).
    • Membenarkan pengubahsuai vesel sehingga 40% untuk membolehkan vesel sedia ada beroperasi di Zon C. Bantuan ubahsuai berjumlah RM 50,000 (RMK-12).

Lampiran

Tiada Lampiran.