Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

136) ISU PERJANJIAN KONSESI AIR SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan rundingan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berhubung pengambilalihan aset pengurusan air di Negeri Selangor dan apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor untuk mendapat kualiti air bersih dan tidak dibebankan dengan kenaikan tarif air

    Beberapa siri rundingan telah diadakan di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.  Lanjutan dari rundingan tersebut, cadangan penstrukturan semula industri air Negeri Selangor telah diterima oleh Kerajaan Persekutuan.  Anggaran nilai yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengambi alih aset bekalan air yang dipegang oleh Syarikat Konsesi Air di Selangor dan aset yang dipegang oleh Kerajaan Selangor adalah tidak lebih dari RM9.3bilion.  Kerajaan negeri Selangor selanjutnya telah menawarkan kepada Pemegang Konsesi nilai tidak lebih dari RM9.3 bilion bagi mengambil alih semua Syarikat Konsesi Air sebagai langkah awal dalam menyusun semula industri perkhidmatan air di Selangor.

     

    Langkah utama yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor untuk mendapat kualiti air bersih dan tidak dibebankan dengan kenaikan tarif air adalah melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor.  Melalui penstrukturan semula ini, operator perkhidmatan air yang baru dapat diujudkan di mana operator air tersebut adalah terdiri dari syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor.  Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kawalan secara langsung dapat diberikan oleh Kerajaan Negeri.  Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mengujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama. Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dapat direalisasikan di bawah struktur baru ini.

     

    Struktur baru ini dapat mengujudkan perkhidmatan air yang mapan berpandukan kepada pendekatan yang holistik.  Keadaan ini akan mendorong pengurusan perkhidmatan air menjadi berdaya maju serta pengurusan kitaran air yang lebih cekap bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur. Dengan ini, kualiti air yang baik dapat dikekalkan untuk diberikan kepada pengguna.  Kos operasi dapat dikurangkan kerana operator yang dilantik di bawah penstrukturan semula ini tidak bermatlamatkan keuntungan sebaliknya pulangan yang telah ditetapkan kepada operator tersebut adalah antara 0% hingga 1% sahaja.

    Di bawah struktur baru ini, operator akan beroperasi secara asset light  di mana pembiayaan ke atas perbelanjaan modal (CAPEX) akan dibuat oleh Pengurusan Aset Air Berhad.   Operator yang baru ini akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan.  Ini akan dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi perkhidmatan air.

     

    Dengan pelaksanaan penstrukturan ini rakyat Negeri Selangor tidak lagi dibebankan dengan kenaikan tarif air yang melampau.  Sebaliknya melalui syarikat yang dimiliki dan dikawal secara langsung oleh Kerajaan  Negeri Selangor, segala sumber yang diperoleh akan digunakan untuk memastikan rakyat  membayar kadar air yang rendah dan terus menikmati inisiatif pemberian 20m3 air percuma.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.