Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

19) ISU PERPINDAHAN SETINGGAN

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mengenai isu program perpindahan setinggan Kg Bunga Raya yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu. Apakah perkembangan terkini program perpindahan tersebut?

    Penempatan setinggan Kg. Bunga Raya di Kuang merupakan tanah rizab Aset Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terletak bersebelahan stesen komuter Kuang. Penempatan ini tidak dirobohkan sekarang memandangkan belum ada keperluan untuk membangunkan tapak tersebut. Pemilik tanah juga tidak mahu membiayai perbezaan harga rumah kos rendah dan subsidi sewa kepada setinggan berkenaan sekiranya setinggan dipindahkan ke kawasan lain di samping tiada projek rumah kos rendah berdekatan yang boleh ditawarkan kepada setinggan-setinggan Kg. Bunga Raya.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih mengekalkan cadangan pemindahan setinggan berkenaan ke projek rumah kos rendah di atas lot 1019 dan 1022 di pekan Kuang Daerah Gombak yang akan dibina oleh Tetuan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).  Bagi kemajuan kerja pembinaan di atas tapak, PKNS baru sahaja memulakan kerja-kerja pembinaan rumah pangsa kos rendah tersebut dan masih berada di peringkat 5% kemajuan kerja tanah. Jangkaan rumah pangsa kos rendah ini akan disiapkan sepenuhnya oleh PKNS pada 6 April 2010.

    Setiap keluarga setinggan yang terlibat iaitu seramai 157 keluarga tidak akan dibayar subsidi sewa dan dibenarkan tinggal di atas tapak sehingga rumah pangsa kos rendah siap sepenuhnya dengan Sijil Layak Menduduki Bangunan (CFO). Setiap rumah pangsa berkenaan akan ditawarkan kepada mereka dengan harga RM35,000.00 seunit.

Lampiran

Tiada Lampiran.