Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

280) ISU RUMAH LADANG SUNGAI BELATA HULU SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini terhadap 64 keluarga bekas pekerja Ladang Sungai Belata yang telah menandatangani perjanjian dengan pemaju untuk membeli rumah kos rendah pada tahun 2001?

    Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang amat menitikberatkan nasib bekas pekerja ladang di Negeri Selangor demi menjaga hak dan kebajikan mereka. Berhubung isu bekas pekerja Ladang Sungai Belata yang pernah ditipu oleh pihak pemaju pada tahun 2001, Kerajaan Negeri berusaha untuk menyelesaikan isu ini dengan cara terbaik bagi memuaskan hati semua pihak. Terkini, satu mesyuarat dengan melibatkan Pihak Pemaju Clarity Crest Sdn. Bhd. dan Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang Sungai Belata telah diadakan di mana pemaju telah menawarkan 64 plot tanah sebagai ganti kepada Rumah Kos Rendah.

    Namun begitu, Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang Sungai Belata menyatakan pihak mereka memerlukan sedikit masa untuk menimbangkan tawaran berkenaan memandangkan terma tawaran tidak jelas dan dikatakan tidak berbaloi untuk membiayai ganti rugi yang dialami oleh pembeli rumah teres kos rendah berikutan kadar hutang dengan pihak bank bagi pinjaman perumahan telah meningkat.

    Oleh yang demikian, kata putus perlu dimuktamadkan oleh Bekas Pekerja Ladang Sungai Belata dan pihak pemaju melalui satu perbincangan khas antara mereka bagi menyelesaikan isu ini. Keputusan susulan daripada perbincangan tersebut akan dipanjangkan secara bertulis kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh mesyuarat.

    Di samping itu juga, Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengambil langkah – langkah keselamatan dalam memastikan segala urusan jual beli dan perkara berkaitan yang melibatkan ladang – ladang di Negeri Selangor harus melalui Estate Land Board (ELB) yang bertindak sebagai satu badan yang bertanggungjawab memastikan setiap urusan dan perkara yang berkaitan dapat dilaksana dan diselesaikan dengan teratur yang dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat agar kejadian sebegini dapat dielakkan di masa hadapan

Lampiran

Tiada Lampiran.