Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

261) ISU TERNAKAN LEMBU

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan kerajaan untuk menyelesaikan isu penempatan ternakan lembu?

    1. Untuk menyelesaikan isu penempatan ternakan lembu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (atau ringkasnya DVS) telah membangunkan 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (atau ringkasnya dipanggil TKPM atau Taman Agrotek) di mana 31 orang daripada 65 penyewa keseluruhan atau 48% merupakan penternak lembu dan kerbau.

     

    Contoh TKPM yang mempunyai penternakan lembu:

     

    1. TKPM (Agrotek) Batu Arang = 2 penternak dengan 400 ekor lembu fidlot dan 65 ekor lembu tenusu di atas plot-plot berkeluasan 10 hektar (25 ekar);
    2. TKPM Buluh Telor = 3 penternak dengan 183 ekor lembu pedaging di atas plot-plot berkeluasan 40 hektar (99 ekar);
    • TKPM Sungai Tamu = 3 penternak dengan 167 ekor lembu tenusu di atas plot-plot berkeluasan 34 hektar (84 ekar);
    1. TKPM Hulu Semenyih = 4 penternak dengan 79 ekor lembu tenusu dan 50 ekor kerbau di atas plot-plot berkeluasan 34 hektar (84 ekar).

     

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri melalui UPEN dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga telah dan sedang membangunkan 2 Kawasan Penempatan Semula Ternakan Lembu (atau secara ringkasnya dipanggil TKPM Translokasi) untuk memindahkan penternak-penternak lembu yang telah diarahkan tutup oleh pihak berkuasa seperti Pejabat Daerah dan Tanah, PBT, LUAS dan pihak-pihak lain kerana didapati menyebabkan kacau ganggu, pencemaran, menceroboh tanah orang lain dan gejala-gejala lain.

     

    Contoh:

     

    1. Ladang Translokasi yang telah dibangunkan adalah TKPM Translokasi Sungai Nilam (berkeluasan 24 hektar (60 ekar) yang telah dibahagikan kepada 6 plot di mana kesemuanya telah disewa oleh 6 penternak dengan 220 ekor lembu tenusu)
    2. TKPM Translokasi yang sedang dibangunkan adalah TKPM Translokasi Olak Lempit (berkeluasan 40 hektar (100 ekar) yang akan dibahagikan kepada 20 plot di mana 19 plot akan ditawarkan untuk sewaan dan 1 plot pula untuk Kerajaan).
    • Contoh TKPM Translokasi baharu yang akan dibangunkan adalah TKPM Translokasi Sg. Gumut, Kalumpang berkeluasan 32 hektar (80 ekar), TKPM Translokasi Sg. Gersik, Rasa berkeluasan 40 hektar (100 ekar) di mana sedang dalam proses perwartaan.
    1. Contoh kawasan yang berpotensi dibangunkan sebagai TKPM Translokasi baharu adalah kawasan Beting Kepah, Sabak Bernam yang berkeluasan 5 hektar (12 ekar) di mana sedang dalam rundingan dengan Pejabat Daerah dan Tanah.

     

    Seterusnya, Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan lebih banyak lagi TKPM Translokasi pada masa akan datang dengan kerjasama dan bantuan Pejabat Daerah dan Tanah kerana pembukaan ladang seperti ini bergantung kepada ketersediaan tanah kerajaan di sesuatu daerah.

Lampiran

Tiada Lampiran.