Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

134) JABATAN PERPARITAN DAN SALIRAN

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Banjir kilat kadangkala berpunca dari penyelenggaraan sungai tidak dijalankan dengan sempurna?

    Banjir boleh didefinisikan sebagai badan air, yang melimpah keluar dari tebing sungai, tasik atau sistem perparitan disebabkan oleh hujan lebat, pencairan ais, air pasang, dan halangan pada saluran (sungai).

     

    Manakala banjir kilat didefinisikan sebagai satu fenomena banjir yang berlaku dalam   tempoh   yang   singkat/beberapa   jam   sahaja.   Akibat   curahan   hujan  yang  lebat  dalam  jangka  masa  yang  singkat  terutamanya  di  kawasan yang tertutup dengan bitumen/aspalt seperti di kawasan bandar.

     

    Punca-punca Banjir

     

    • Punca-punca semula jadi: Hujan yang singkat dengan keamatan tinggi menyebabkan banjir

     

    • Aktiviti Manusia: Pembuangan sisa pepejal ke dalam sungai, enapan dari pembukaan tanah dan kawasan pembinaan, dan halangan di dalam sungai .

     

    Kesan-kesan Banjir

     

    • Secara Positif:

    Mengekalkan, memperkaya dan mengembalikan biodiversiti tertentu di dataran banjir, mengembalikan keadaan tanah yang kaya nutrisi di mana ia sesuai untuk pertanian dan tumbuhan semula jadi, membersihkan lumpur dan juga enapan dari kawasan banjir, serta mengisi semula air bumi

    • Secara Negatif:

    Mengancam nyawa, mengganggu kegiatan sosial dan ekonomi dan memusnahkan harta benda, menyebabkan kesulitan dan kos pemulihan boleh menjadi tinggi untuk kerajaan ataupun individu, dan menghalang pelaburan baru di kawasan mudah banjir.

     

    Maklumat Tambahan

    Untuk mengurangkan risiko akibat banjir Jabatan Pengairan Dan Saliran telah saban tahun memperuntukkan sejumlah besar peruntukan kewangan untuk penyelenggaraan sungai dan parit di bawah seliaan jabatan. Sebagai sebuah negeri yang maju dan pesat membangun, Negeri Selangor tidak dapat menolak kesan kerosakan terhadap sungai yang terhasil dari pembangunan di mana kadar mendapan/enapan lumpur yang memenuhi sungai terlalu tinggi dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk menyelenggaranya.

     

    Kerja-kerja mengorek dan mendalamkan sungai perlu sentiasa dilakukan, begitu juga kerja-kerja membersih tebing. Namun untuk menyelenggara secara berkala semua sungai dan parit untuk beberapa kali dalam setahun adalah mustahil kerana memerlukan jumlah perbelanjaan yang tinggi. Oleh itu jabatan telah mengambil pendekatan di mana penyelenggaran secara berkala dilakukan terhadap sungai-sungai yang melalui kawasan perbandaran yang menjadi perhatian para pelancong dan pembesar Negara. Manakala sungai dan parit yang agak terpencil dan jauh dari pandangan dilakukan penyelenggaraan setahun sekali bergantung kepada keperluan untuk mengurangkan risiko banjir.

     

    Namun begitu keutamaan juga diberi kepada kawasan-kawasan yang kerap berlakunya kejadian banjir berdasarkan kejadian-kejadian yang lalu  Sehubungan dengan itu, saban tahun semasa permohonan bajet jabatan telah memohon kepada kerajaan negeri supaya peruntukan untuk kerja-kerja mengurus dapat ditambah.

Lampiran

Tiada Lampiran.