Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

231) JALAN KAMPUNG

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses kelulusan penyelenggaraan jalan-jalan kampung?

    Kerajaan Negeri peka dengan kepentingan pembangunan luar bandar supaya ia seiring dengan pembangunan di bandar. Selaras dengan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan luar bandar dengan tujuan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam/ asas luar bandar seperti jalan, longkang, dewan serba guna, balai raya dan lain-lain yang akan dilaksanakan melalui Kerajaan Negeri oleh Pejabat Daerah dan Tanah.

    Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi baik pulih dan naik taraf jalan-jalan kampung dan sehingga 30 Jun 2017 sebanyak  195 buah projek berjumlah RM13.6 juta telah diberi kelulusan bagi pelaksanaan untuk sembilan (9) daerah di Negeri Selangor.

    Untuk makluman, permohonan bagi projek-projek baik pulih dan naik taraf jalanjalan luar bandar ini akan dikemukakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah yang lengkap bersama Bill of Quantity (BQ) dan juga gambar. Setelah permohonan lengkap ini dihantar ke Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, semakan dan penilaian permohonan akan dibuat dan pertimbangan kelulusan adalah berdasarkan kepada keperluan sebenar di tapak.

    Setelah permohonan disemak dan diluluskan, makluman kelulusan berbelanja akan dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk melaksanakan proses perolehan. Tempoh masa bagi kelulusan permohonan projek baik pulih dan naik taraf jalan-jalan luar bandar ini yang telah ditetapkan adalah tidak lebih dari 21 hari bekerja selaras dengan ISO 9001:2015 Pengurusan Permohonan Projek Infrastruktur Kecil yang Bernilai RM100,000 dan ke bawah yang diperuntukkan oleh Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri (P01).

    Merujuk kepada cabutan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke  26/ 2016 yang diadakan pada 10 Ogos 2016 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 27/ 2016 pada 17 Ogos 2016, secara dasarnya kerajaan Negeri bersetuju pelaksanaan penyelenggaraan jalan-jalan luar bandar di atas tanah persendirian yang tidak berdaftar di dalam sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) ditanggung mengguna pakai peruntukan Kerajaan Negeri. Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor telah mengeluarkan surat makluman kepada semua Pejabat Daerah dan Tanah mengenai keputusan ini untuk tindakan selanjutnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.