Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

45) JAMINAN PEKERJA LADANG

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan Negeri Selangor memastikan bahawa pekerja ladang terbela di bawah peruntukan undang-undang sedia ada?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil berat dan memastikan nasib pekerja-pekerja ladang dan bekas pekerja ladang di negeri ini terbela. Untuk makluman Yang Berhormat Kota Damansara, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin telah memperuntukkan dana sebanyak RM2.5 juta pada tahun 2019 khusus bagi pelaksanaan program yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pekerja ladang dan bekas pekerja ladang, malahan turut dirasai oleh anak-anak mereka. Suka dimaklumkan, peruntukan tersebut yang dahulunya telah ditetapkan sebanyak RM1.8 juta setahun telah ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini berdasarkan pencapaian Jawatankuasa dalam memelihara kebajikan pekerja ladang dan bekas pekerja ladang melalui penganjuran program-program yang khusus. Maka, tanggungjawab Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin kini adalah lebih besar dari tahun-tahun sebelum. Kepercayaan yang diberi oleh Kerajaan Negeri terhadap jawatankuasa akan digunakan sehabis baik dalam usaha memastikan kebajikan golongan tersebut dipelihara.

    Untuk makluman Yang Berhormat Kota Damansara, terdapat dua portfolio khusus yang diwujudkan bagi membantu para pekerja ladang dan bekas pekerja ladang di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin seperti berikut:

    1. Portfolio Pembangunan Pekerja Ladang
    2. Portfolio Program Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang

    Kedua-dua portfolio ini adalah berbeza dari segi pelaksanaannya, namun golongan sasarnya adalah sama melibatkan pekerja ladang dan bekas pekerja ladang.

    Di bawah Portfolio Pembangunan Pekerja Ladang, Jawatankuasa telah menganjurkan beberapa bentuk program khusus kepada pekerja ladang dan bekas pekerja ladang di Negeri Selangor termasuklah program-program perayaan. Antara program yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang adalah seperti berikut :-

    • Perayaan Pesta Ponggal Peringkat Negeri Selangor
    • Perayaan Thaipusam Peringkat Negeri Selangor
    • Program Bersama Pemimpin-pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dan Bekas Pekerja Ladang
    • Program Lawatan Turun Padang Jawatankuasa Tetap Pekerja ladang Bersama Pekerja-pekerja Ladang di Negeri Selangor
    • Program Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor

    Portfolio Pembangunan Pekerja Ladang telah banyak membantu pekerja ladang dalam meringankan beban dalam arus pemodenan yang semakin berkembang pesat. Pembangunan ekonomi di kalangan pekerja ladang merupakan teras kepada kehidupan yang lebih selesa dan terjamin di masa hadapan. Justeru itu, program-program yang telah dilaksanakan memberi tumpuan kepada pekerja ladang di Negeri Selangor dalam meningkatkan pendapatan sampingan mereka menerusi penganjuran program-program berbentuk kursus kemahiran jangka pendek seperti membuat kek dan coklat, kelas jahitan, kelas solekan, membaiki peralatan, membuat kraftangan serta ceramah dan taklimat yang membantu meningkatkan keyakinan dan semangat di kalangan pekerja ladang untuk terus maju dan berdaya saing. Program-program kemahiran seperti ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja ladang mendalami asas-asas kemahiran ilmu yang boleh menjana pendapatan sampingan.

    Manakala program-program yang terdapat di bawah Portfolio Program Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang pula adalah seperti berikut :

    Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah

    Pemberian wang RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang yang layak mengikut kriteria permohonan bagi setiap tahun.

    Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia

    Bantuan Yuran Pengajian maksima sebanyak RM5000.00 setiap pelajar yang layak mengikut kriteria permohonan bagi satu jurusan bagi mengurangkan bebanan yuran pengajian anak-anak kepada ibu bapa.

    Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

    Penyampaian wang adalah berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit. Ia dilaksanakan sebagai penghargaan kepada anak-anak pekerja ladang yang telah berjaya dan secara tidak langsung mengurangkan beban kos sara hidup kepada ibu bapa yang pekerja ladang.

    Program–program Motivasi Anak Pekerja Ladang (Program Ad-Hoc)

    Dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi dan pendidikan di kalangan anak pekerja ladang di dalam menimba ilmu pendidikan.

    Kerajaan Negeri juga senantiasa peka dan maklum akan keperluan anak-anak pekerja ladang khususnya yang menetap di Negeri Selangor. Kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dapat dilihat dengan penganjuran pelbagai program yang bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan dan memupuk kesedaran kepentingan pendidikan di kalangan anak-anak pekerja ladang selaras dengan keperluan semasa.

    Salah satu perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri terhadap anak-anak pekerja ladang adalah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selasa dan kondusif. Dengan adanya persekitaran pembelajaran yang lengkap, secara tidak langsung dapat menarik minat anak-anak pekerja ladang untuk menimba ilmu pengetahuan. Komitmen Kerajaan Negeri berhubung perkara ini dapat dilihat dengan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Coalfields. Melalui pembinaan projek tersebut, ia dapat membantu anak-anak pekerja ladang untuk menerima pendidikan yang sempurna dengan kemudahan-kemudahan dan teknologi terkini melalui persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif. Secara tidak langsung, dengan adanya kemudahan-kemudahan pembelajaran dan akses kepada maklumat pendidikan terkini, ia dapat mendorong dan memupuk minat anak-anak pekerja ladang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk mecapai cita-cita. Secara tidak langsung, anak-anak pekerja ladang ini dapat memperluaskan bidang pekerjaan dan membantu keluarga meningkatkan taraf sosio-ekonomi dengan menggunakan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang telah mereka perolehi dan pelajari.

    Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri akan terus membantu dan menjaga kebajikan pekerja ladang dan anak-anak pekerja ladang selaras dengan dasar-dasar Kerajaan Negeri sedia ada serta penguatkuasaan Undang – undang Buruh Di Malaysia : Akta Pekerja 1955. Selaras dengan akta berkenaan, Kerajaan Negeri turut mempunyai Estet Land Board (ELB) yang bertujuan untuk menyemak dan meluluskan apa-apa transaksi ladang yang mempunyai keluasan melebihi 100 ekar bagi tujuan pembangunan. Pertimbangan dan kelulusan ini juga akan mengambil kira fasiliti yang terdapat di dalam ladang berkenaan seperti sekolah, rumah ibadat, tapak perkuburan dan sebagainya. Ia adalah bagi membantu mereka untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya demi memastikan mereka terus berdaya saing dan maju seiring dengan pembangunan negara yang semakin pesat membangun.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.