Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

13) JAWATANKUASA BERSEPADU BAGI MENANGANI ISU PENCEMARAN ALAM SEKITAR PERINGKAT NEGERI

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri ada menubuhkan mana-mana Jawatankuasa Bersepadu, yang mengumpulkan wakil-wakil daripada semua agensi-agensi kerajaan dan lain-lain (sebagai contoh, Jabatan Ala Sekitar, SPAN, LUAS, IWK, PBT) bagi membincangkan masalah pencemaran alam sekitar secara keseluruhan (termasuk penggubalan undang-undang baru) ?

    Bagi membincangkan masalah pencemaran alam sekitar serta isu-isu pelupusan bahan berbahaya, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Kebarangkalian Tapak Pelupusan Bahan Buangan Terjadual Di Peringkat Negeri Selangor yang telah diluluskan oleh MMKN Ke 27/2019 pada 18 September 2019. Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Pusat dan Negeri dalam memastikan kesejahteraan serta kebajikan rakyat sentiasa terjamin dan tidak ada kemudaratan terhadap rakyat. Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Kebarangkalian Tapak Pelupusan Bahan Buangan Terjadual Di Peringkat Negeri Selangor yang pertama telah diadakan adalah pada 29 November 2019. Keahlian jawatankuasa ini adalah seperti berikut:

     

    Pengerusi : YB Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam

    Sekitar, Teknologi Hijau dan inovasi (STI) dan

    Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor

    Timbalan Pengerusi : Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri

    (Pembangunan)

     

    Ahli Tetap : Wakil Perbendaharaan Negeri Selangor

     

      Wakil Bahagian Pengurusan Bencana

    Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

      Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor

     

      Wakil Semua Pejabat Tanah Daerah Negeri Selangor

     

      Wakil Semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor

     

      Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor

     

      Pengarah Lembaga Urus Air Selangor

     

      KDEB Waste Management

     

    Setiausaha : Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN

     

    Sekretariat : Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor

     

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, objektif penubuhan jawatankuasa ini diadakan adalah untuk:

    1. Mendapatkan maklumat, isu-isu dan permasalahan berkaitan pencemaran serta pelupusan buangan berbahaya negeri;
    2. Menerima dan mengkaji pelaporan mengikut perundangan yang berkaitan dengan skop pelupusan serta pengurusan buangan berbahaya yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi;
    3. Menerima laporan dan seterusnya mengeluarkan arahan untuk tindakan jabatan dan agensi berkaitan mengikut undang-undang sedia ada;
    4. Membuat pemantauan dan penyelidikan dalam aspek penyelidikan, latihan, pembangunan, pemantauan dan penguatkuasaan dalam pelupusan buangan berbahaya;
    5. Menilai dan mencadangkan tindakan penambahbaikan di peringkat Kerajaan Negeri dalam semua aspek pengurusan dan pelupusan buangan berbahaya; dan
    6. Manjadi penghubung Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan masyarakat terutamanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pelupusan buangan berbahaya.

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat sekalian, selain daripada penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Kebarangkalian Tapak Pelupusan Bahan Buangan Terjadual Di Peringkat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, Jawatankuasa Pelaksana Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri di Selangor dan Jawatankuasa Pencegahan Pembakaran Terbuka Peringkat Negeri Selangor.

    Ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memastikan insiden pencemaran tidak berlaku ketika musim perayaan yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air akibat daripada penutupan Loji Rawatan Air (LRA). Operasi pemantauan di lembangan sungai ini diketuai oleh Lembaga Urus Air Selangor dan disertai oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor, Air Selangor, Indah Water Konsortium, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah Tanah (PDT) Negeri Selangor.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.