Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

64) JAWATANKUASA PILIHAN PERKHIDMATAN BEKALAN AIR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan berniat untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Perkhidmatan Bekalan Air bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di dalam negeri dan memastikan anak Selangor tidak menghadapi krisis air pada masa hadapan?

    Pada pandangan Kerajaan Negeri Selangor, penubuhan Jawatan Kuasa Pilihan Perkhidmatan Air belum perlu dibuat memandangkan SYABAS adalah syarikat swasta yang tidak akan terikat dan patuh dengan apa jua keputusan jawatan kuasa tersebut.

    Pada masa yang sama juga, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 27/2012 yang bersidang pada 25 Julai 2012 dan telah disahkan oleh MMKN ke  28/2012 pada 01 Ogos  2012 telah meluluskan supaya Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ditubuhkan bagi memantau secara harian perkhidmatan SYABAS dan semua operator rawatan air serta kedudukan semasa bekalan air kepada pengguna termasuk meninjau sendiri di tapak masalah kekurangan bekalan air. Jawatan kuasa ini diwujudkan sebagai salah satu perancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam menghadapi cadangan catuan bekalan air oleh SYABAS.

    Segala usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air berdasarkan Model Holistik di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah bagi tujuan untuk memastikan mutu perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan dan mengelakkan sebarang krisis bekalan air di masa akan datang.

    Keadaan industri perkhidmatan air pada masa sekarang  dikendalikan oleh operator swasta tanpa penglibatan Kerajaan Negeri. Kesemua operator rawatan air dan operator agihan yang ada pada ketika ini adalah merupakan  syarikat swasta yang mana bagi syarikat swasta keuntungan merupakan matlamat utama di dalam setiap perniagaan. Dalam kerakusan mengejar matlamat mengaut keuntungan bagi mengayakan segelintir kapitalis, kepentingan pengguna perkhidmatan air yang merupakan rakyat Negeri Selangor tidak diutamakan.

    Keadaan ini berbeza sekiranya pengurusan industri perkhidmatan air berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang mana keuntungan bukanlah matlamat utama.  Oleh sebab terdapat jurang perbezaan di dalam matlamat syarikat swasta dan Kerajaan Negeri Selangor di dalam memberikan perkhidmatan bekalan air yang efisien, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor.

    Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor ini  sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan sebagaimana yang telah dicapai di di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Lampiran

Tiada Lampiran.