Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

155) JAWATANKUASA TETAP KESIHATAN, KEBAJIKAN, PEMBERDAYAAN WANITA DAN KELUARGA

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan matlamat dan halatuju Portfolio tersebut.

    Matlamat dan hala tuju bagi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga adalah seperti berikut :-

     1.Matlamat Dan Hala Tuju Jawatankuasa Tetap Kesihatan

    Matlamat dan halatuju bagi Jawatankuasa Tetap Kesihatan adalah menggalakkan rakyat di negeri Selangor supaya mempunyai tahap kesihatan yang baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat terutama dari segi fizikal dan mental serta menikmati pemakanan seimbang bagi mengurangkan risiko menghidapi penyakit tidak berjangkit. Jawatankuasa Kesihatan juga turut membantu membuat kawalan dan pencegahan bagi mengurangkan rebakan penyakit berjangkit serta penyakit bawaan vektor seperti demam denggi.

    2. Matlamat Dan Hala Tuju Jawatankuasa Tetap Kebajikan

    Matlamat dan hala tuju bagi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Negeri Selangor adalah melaksanakan program-program pembangunan yang melibatkan golongan sasar terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas dalam bentuk latihan, kemahiran serta memupuk semangat kesukarelawan tanpa mengira bangsa, usia, fahaman politik dan agama. Program-program kebajikan yang dianjurkan akan dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai agensi di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di dalam Negeri Selangor.

    3.Matlamat Dan Hala Tuju Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita DanKeluarga

    Halatuju bagi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga adalah memperkasakan wanita di peringkat akar umbi dengan latihan pembangunan kapasiti dan kemahiran turut mempersiapkan golongan wanita untuk mendepani industri 4.0 dengan mengambil kira usaha pemerkasaan wanita dari sudut sosio ekonomi, membanteras keganasan terhadap wanita dan pemerkasaan undang undang demi keadilan gender bagi memastikan wanita mampu berdaya saing disamping berperanan dalam melahirkan keluarga yang penyayang dan bertanggungjawab sekaligus mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.

Lampiran

Tiada Lampiran.