Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

266) JEJAK ILMUAN DAN TOKOH KARYAWAN

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah output atau hasil daripada Program Jejak Ilmuan yang telah dijalankan oleh Kerajaan sepanjang 2008-2012?

    Program ‘Jejak Ilmuan’ adalah usaha Kerajaan Negeri Selangor membawa ilmuan-ilmuan kepada masyarakat dan pelajar sekolah. Program ini merupakan program untuk menghimpunkan dan mengenalpasti ilmuwan, khususnya anak tempatan negeri Selangor yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing agar dapat menyumbang idea dan kepakaran mereka untuk diketengahkan kepada masyarakat di semua peringkat di negeri Selangor. Manakal Program Tunas Ilmuwan merupakan salah satu aktiviti yang diletakkan di bawah Program Jejak Ilmuwan yang bertujuan untuk menjadikan Selangor sebagai pusat melahirkan ilmuwan dan cendekiawan dalam pelbagai bidang. Tema untuk program ini adalah ‘Merakyatkan Ilmuwan’.

    Objektif Jejak Ilmuwan diadakan adalah:

    1. Merakyatkan ilmuwan – proses merakyatkan ilmu melalui ilmuwan.
    2. Mencari bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan.
    3. Membentuk dan mendidik bakal ilmuwan.
    4. Memperkenal perkembangan bakal ilmuwan oleh ilmuwan.
    5. Memperkenal dan menyelusuri rahsia kejayaan ilmuwan.
    6. Memperkenalkan institusi pendidikan di Negeri Selangor yang menyokong program tersebut.

    Anjuran bersama “International Islamic Academy for Life Sciences and Biotechnology” (IAB) daripada Universiti Selangor, bagi menjalankan pelbagai aktiviti di dalam sains hayat bagi memupuk minat para pelajar ke arah bidang ini. ‘Bengkel Tunas Ilmuwan Selangor’ yang diadakan di makmal-makmal IAB di UNISEL Shah Alam diimplementasi secara serius dalam memberi pengetahuan dalam bidang bioteknologi. Semasa bengkel tersebut, pelajar-pelajar dari Kolej Integrasi Tunas Ilmuwan Selangor (KITIS) dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains Istana Bandar (MITIB) di bawa ke UNISEL dan diberi pengalaman sebenar bekerja di makmal sebagai seorang saintis. Kedua-dua bengkel tersebut telah berjaya mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat memberangsangkan bukan sahaja daripada para pelajar, malah juga daripada guru-guru pengiring di mana mereka telah memohon agar pihak IAB menganjurkan lagi bengkel seumpama itu.

    Pencapaian rentetan daripada usaha ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menandatangani beberapa perjanjian bagi perkongsian kemahiran dan penyelidikan di dalam bidang bioteknologi dan teknologi hijau hasil usaha lawatan ke Imperial College di London, University of Cambridge, iaitu Institute Of Manufacturing, Cambridge, Islamic Academy Of Cambridge dan Fakulti Perubatan dan Sains Hayat, University Of Manchester.

    Selain itu, hasil dari dana endowmen yang telah diberikan secara terus kepada IPT Selangor pada tahun 2009, pada tahun 2010, 2 persidangan antarabangsa telah dilaksanakan iaitu International Conference Of Muslim Education (ICIED) pada 29, 30 November dan 1 Disember 2010 dan IAB-IAS International Symposium pada 8 sehingga 9 Disember 2010.

    Jumlah ilmuan yang dapat dikumpulkan adalah seramai 132 orang serta bidang keilmuan adalah seperti berikut:

    • Bidang Matematik
    • Bidang Teknologi Cahaya
    • Bidang Teknologi Angkasa
    • Bidang Teknologi Bunyi
    • Bidang Teknologi Komunikasi (Mobile)
    • Bidang Teknologi Kimia
    • Bidang Teknologi Bahan
    • Bidang Sains Perhutanan
    • Bidang Teknologi Alam Sekitar
    • Bidang Teknologi Elektrik & Elektronik / Digital
    • Bidang Teknologi Multimedia
    • Bidang Teknologi Sekuriti Maklumat dan Forensik
    • Bidang Ekonomi
    • Bidang Pendidikan dan Sosial
    • Bidang Farmasi
    • Bidang Bioteknologi
    • Bidang Seni Grafik
    • Bidang Kejuruteraan (Knowledge Engineering)

    Buat masa ini, ilmuan-ilmuan terbabit masing-masing berkhidmat dengan universiti tempatan dan terlibat dengan aktif dengan professional masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.