Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

221) JELAPANG PADI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha dan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan jumlah pengeluaran hasil padi?

    Antara usaha dan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan pengeluaran hasil padi seterusnya mempertingkatkan pendapatan dan sosioekonomi golongan pesawah padi di seluruh negara seperti berikut:

    • meningkatkan harga belian padi pada kadar RM1,200 per tan metrik mulai tahun 2014 bagi menggalakkan penghasilan padi yang tinggi sekaligus meningkatkan pendapatan dalam kalangan pesawah;
    • penggunaan benih padi sah yang berkualiti di mana sebanyak RM75 juta diperuntukkan pada setiap tahun bagi memastikan benih padi berkualiti dibekalkan kepada pesawah yang boleh meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah;
    • meningkatkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam aktiviti penanaman dan penuaian padi dengan memanfaatkan peruntukan di bawah program mekanisasi dan automasi Kementerian sebanyak RM150 juta dalam peruntukan RMKe11;
    • pengukuhan infrastruktur pengairan dan saliran bagi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di mana sebanyak RM1.395 billion diperuntukkan di bawah RMKe11 untuk meningkatkan produktiviti padi;
    • meningkatkan kecekapan bantuan input bagi memastikan peningkatan produktiviti tanaman padi dengan melaksanakan program pemulihan tanah, penggunaan mikrob dan bahan organik, pencirian tanah (soil profiling) bertujuan mengenalpasti tahap kesuburan tanah dan kesesuaian bantuan baja;
    • membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus pengurusan lepas tuai bagi membantu pengurangan kehilangan lepas tuai yang seterusnya boleh meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan petani;
    • melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan bagi menghasilkan varieti baru yang dapat meningkatkan hasil dan rintang (tahan) kepada penyakit. Antara yang telah berjaya dilakukan adalah pengenalan varieti benih baru seperti MARDI Siraj 297, MR303, MR 307, UKM RC-2 dan UKM RC-8.
    • memperkasakan aktiviti pengembangan melalui penubuhan Farmer Field School (FFS) di bawah Jabatan Pertanian bagi meningkatkan kemahiran pesawah dalam aspek penanaman padi; dan
    • Memberikan tumpuan kepada dua belas (12) kawasan jelapang padi negara termasuklah IADA Barat Laut Selangor dengan menaiktaraf infrastruktur dan pengurusan tanaman padi yang lebih cekap.

    Selain daripada itu, Kerajaan juga menggalakkan pesawah untuk melaksanakan penanaman bercampur (mixed cropping) dengan tanaman-tanaman lain yang bersesuaian bagi mempelbagaikan pendapatan pesawah.

Lampiran

Tiada Lampiran.