Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

183) JEREBU DAN UDARA BERSIH

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha dan tindakan Kerajaan Negeri bagi menangani masalah jerebu?

    Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius mengenai jerebu yang melanda Negara kita. Berdasarkan pemantauan dan laporan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia, masalah jerebu yang berlaku baru-baru ini bermula pada 22 Ogos 2015 sehingga kini adalah berpunca daripada pencemaran jerebu merentas sempadan daripada Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Keadaan ini telah menjejaskan status kualiti udara di kebanyakan negeri di Malaysia termasuk Negeri Selangor.

     

    Walau bagaimanapun, keadaan jerebu setempat boleh terjadi sekiranya berlaku kebakaran hutan terutama di kawasan hutan paya gambut atau sekitarnya daripada asap yang terhasil secara berterusan daripada kebakaran tanah gambut itu sendiri kerana kebakaran boleh merebak sedalam beberapa meter ke bawah tanah gambut disebabkan penurunan paras air tanah yang ketara akibat musim panas dan kering serta tiada sumber air di lokasi bagi memadam kebakaran tersebut.

     

    Untuk makluman Ahli- Ahli Yang Berhormat, penyelesaian jangka pendek yang telah di laksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah menjalankan tindakan pemantauan secara sistematik di kawasan hutan dan sekitarnya yang dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan  Perhutanan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Selangor dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor. Sekiranya kebakaran dikesan, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Selangor akan dihubungi untuk  tindakan pemadaman segera.

     

    Bagi kes kebakaran hutan yang berskala besar, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu.

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah membuat perolehan set peralatan pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut yang dikenali sebagai “Peat Fire-X (PFX)”. Set peralatan tersebut terdiri daripada serbuk PFX, pam, hos, 2 buah tangki pembancuh masing-masing berkapasti 500 dan 100 gelen. Peralatan tersebut kini ditempatkan di Majlis Perbandaran Klang dan pernah digerakkan untuk membantu pemadaman kebakaran tanah gambut di kawasan berhampiran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan pada bulan Februari 2015.

     

    Seterusnya, bagi penyelesaian jangka panjang, antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam mengawal kebakaran hutan yang akan mengakibatkan jerebu di kawasan setempat adalah meningkatkan paras air tanah dan saliran yang sedia ada di kawasan hutan paya gambut dan sekitarnya yang kritikal di Negeri Selangor seperti di Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan Hutan Simpan Raja Musa.

     

    Pembinaan infrastruktur seperti check dam, tube well, kolam takungan, menara tinjau dan saluran paip air telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains Wilayah Persekutuan/Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor di bawah Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut Yang Sering Terbakar oleh Jabatan Alam Sekitar secara berperingkat sejak tahun 2009 sehingga kini.

     

    Untuk makluman, sebanyak 17 buah check dam, 6 buah tube well, sebuah kolam takungan dan sebuah menara tinjau telah dibina di sekitar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (Pulau Kempas), sebuah tube well di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan sebuah check dam dan saluran paip air sepanjang 1.15km telah dibina di Hutan Simpan Raja Musa.

     

    Pada tahun 2015, program ini diteruskan dengan pembinaan beberapa lagi infrastruktur seperti tube well dan kolam takungan di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan serta saluran paip air di Hutan Simpan Raja Musa.

     

    Pada masa yang sama, tindakan, Kerajaan Negeri turut mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah dan Jabatan Perhutanan ke atas pihak-pihak yang didapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka.

     

    Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Oktober 2015, tindakan undang-undang yang telah diambil bagi kesalahan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti

    Alam Sekeliling 1974 ialah sebanyak 22 kompaun telah dikeluarkan dan 16 Kertas Siasatan telah disediakan untuk mengambil tindakan mahkamah.

Lampiran

Tiada Lampiran.