Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

217) JEREBU DARI INDONESIA & MALAYSIA TELAH MENGANCAMKAN KESIHATAN RAKYAT SELANGOR SETIAP TAHUN

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengawal jerebu yang timbul setiap tahun ?

    Kejadian jerebu yang berlaku setiap tahun adalah berpunca dari dua punca iaitu pembakaran terbuka dari dalam negara dan pencemaran merentasi sempadan yang berpunca dari pembakaran di Sumatera semasa monsun baratdaya.  Bagi mengawal jerebu yang berpunca dari aktiviti pembakaran terbuka di tanah gambut khususnya, di dalam negara, pihak Kerajaan melalui agensi-agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta agensi-agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran Di Tanah Gambut. Di negeri Selangor kawasan yang terlibat adalah di sekitar Johan Setia, Kelang; kawasan sekitar Pulau Kempas, Mukim Tanjung 12, Kuala Langat; dan kawasan Hutan Simpan Raja Muda Musa.

    Di antara kerja-kerja  yang telah dilaksanakan di dalam program ini adalah meliputi:-

    • Pembinaan 3 unit sekatan saliran atau empangan (check dam) di kawasan Johan Setia bagi meninggikan dan mengekalkan paras air tanah gambut semasa musim panas dan kering (lazimnya di antara bulan Jun hingga September);
    • Pembinaan 2 buah telaga air tanah (tube well) untuk mendapatkan sumber alternatif bekalan air bagi memadam kebakaran dan mengekalkan paras air di kawasan Pulau Kempas, Mukim Tanjung 12, Kuala Langat;
    • Pembinaan 1 buah menara tinjau (watch tower) juga di Pulau Kempas, Mukim Tanjung 12, Kuala Langat; bagi mengawasi dan membantu penguatkuasaan ke atas aktiviti pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut; dan
    • Pengurusan paras air di kawasan Hutan Simpan Raja Muda Musa.

    Selain dari tindakan-tindakan yang telah disebutkan tadi, Kerajaan Negeri Selangor telah mewujudkan pasukan khas bagi mencegah pembakaran terbuka di Majlis Perbandaran Kelang bagi mengawal kawasan pertanian revolusi hijau, Johan Setia, Kelang. Kerja-kerja penguatkuasaan ke atas pembakaran terbuka juga dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar Selangor di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, manakala pembakaran terbuka dari kawasan perumahan dan tapak pelupusan dikawal oleh pihak berkuasa tempatan di bawah kacau ganggu.

    Pada tahun 2011 (Januari hingga Jun), sebanyak 28 kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 di negeri Selangor dengan denda berjumlah RM 56,000.00; manakala bagi keskes yang dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2011 adalah sebanyak 13 kes; di mana 5 kes telah disabitkan kesalahan di bawah Akta yang sama dan jumlah denda yang dikenakan adalah berjumlah RM 53,000.00. Disamping itu sebanyak 10 kertas siasatan lagi sedang disediakan untuk difailkan di mahkamah bagi kesalahan yang sama.

    Pada tahun 2010, sebanyak 49 kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dengan kutipan kompaun berjumlah RM 76,800.00 manakala bagi kes-kes yang dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2010 adalah sebanyak 6 kes; di mana 3 kes telah disabitkan kesalahan di bawah Akta yang sama dan jumlah denda yang dikenakan adalah berjumlah RM 31,000.00

    Usaha-usaha bagi mengawal jerebu yang merentasi sempadan pula dibuat melalui usaha sama negara-negara ASEAN peringkat serantau. Malaysia meneruskan kerjasama dengan negara ahli melalui ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution bagi menangani isu jerebu merentas sempadan (transboundary haze). Kerjasama dua hala dengan pihak Indonesia juga diteruskan dan dipertingkatkan dengan tumpuan ke atas sokongan serta bantuan kepada usaha–usaha pencegahan pembakaran tanah dan hutan yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Indonesia Bagi Menangani Masalah

    Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan

     

Lampiran

Tiada Lampiran.