Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

30) JETI HARAM

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri memantau kewujudan jeti-jeti haram di Selangor?

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil 16/2008 yang bersidang pada 25 Jun 2008 memutuskan bahawa pengurusan jeti dan kelulusan pembinaan jeti diletakkan di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berdasarkan peruntukan Seksyen 43, Enakmen LUAS,

     

    Permohonan mendapatkan Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber (Pembinaan Jeti) akan dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS. Jawatankuasa ini dianggotai oleh jabatan dan agensi yang terlibat seperti Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Laut, Pejabat Tanah Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar serta jabatan/agensi lain yang akan dijemput mengikut keperluan.

     

    LUAS telah mengambil inisiatif untuk menjalankan inventori jeti di Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat lengkap berkenaan jeti-jeti sedia ada. Selain itu, inventori yang dijalankan akan memudahkan perancangan aktiviti jeti pada masa hadapan dan menyelaras inventori jeti sedia ada.

     

    Inventori jeti dijalankan di seluruh Negeri Selangor dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Tanah setiap kawasan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Selangor dan Jabatan Perikanan Negeri Selangor.

     

    Pengumpulan data inventori yang dijalankan oleh LUAS mendapati sebanyak 1350 buah jeti yang telah dibina di dalam Negeri Selangor yang merangkumi jeti pendaratan ikan dan jeti komersial seperti pecahan yang berikut :

     

    1. Jeti pendaratan ikan : 1304 buah
    2. Jeti komersial : 46 buah

     

    Berdasarkan rekod dan maklumat yang dikumpulkan, LUAS mendapati kebanyakan jeti yang dibina tanpa sebarang kelulusan. Lanjutan itu, Kajian Pengurusan Jeti Negeri Selangor dijalankan dengan mengambil kira hasil inventori yang disediakan.

     

    Kajian jeti yang dijalankan mendapati isu utama pembinaan jeti tanpa kebenaran terbahagi kepada aspek perundangan, pengurusan, operasi dan alam sekitar. Pembinaan jeti dibuat tanpa mendapat sebarang kelulusan agensi yang berkaitan dan penggunaan/pemilikan tanah yang tidak sah.

     

    Pembinaan jeti tanpa kawalan ini menyebabkan kepadatan jeti dan kesesakan peletakan bot dan sampan sehingga mengganggu keadaan morfologi sungai dan pantai. Pemantauan secara menyeluruh jeti tidak dapat dijalankan kerana tiada kemudahan laluan masuk disediakan di samping tidak menitik beratkan langkah keselamatan. Selain itu, pembinaan jeti yang dibuat memberi kesan kepada alam sekitar di mana penebangan pokok bakau secara berleluasa dijalankan.

     

    Penilaian kesesuaian yang dijalankan di tapak mengambil kriteria-kriteria seperti zon guna tanah, aspek sosioekonomi, kapasiti sungai dan pantai, kemudahan laluan masuk dan kesan alam sekitar. Daripada isu dan penilaian kriteria yang dijalankan ke atas setiap tapak jeti yang terlibat, had bilangan jeti yang diperlukan di sesebuah kawasan disediakan.

     

    Hasil kajian yang dijalankan dapat membantu pihak Kerajaan Negeri di dalam membuat keputusan bagi membolehkan jeti beroperasi secara sah. Jeti yang memenuhi syarat dan kriteria selaras dengan peruntukan Seksyen 43, Enakmen LUAS, 1999 akan diwartakan sebagai kegunaan awam manakala jeti yang tidak memenuhi kriteria dan tiada kelulusan akan dirobohkan.

     

    Jeti yang beroperasi di dalam had pelabuhan memerlukan lesen daripada LPK manakala jeti yang beroperasi di luar had pelabuhan memerlukan lesen daripada LUAS. Lesen yang dikeluarkan dilengkapi dengan syarat yang menyatakan senarai bahan dan barangan yang dibenarkan untuk pemunggahan dan pengangkutan bagi jeti yang diluluskan.

     

    Berdasarkan lesen yang dikeluarkan, pemantauan akan dijalankan oleh Kastam dan APMM bagi memastikan jenis muatan yang dibawa telah diluluskan oleh LUAS dan LPK. Pemantauan akan dijalankan secara berjadual oleh LUAS bagi memantau laluan navigasi jalan air pedalaman pada setiap bulan.

Lampiran

Tiada Lampiran.