Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

308) JOM SHOPPING UNTUK ANAK SELANGOR DI KL

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memperluaskan Program Jom Shopping untuk warga Selangor yang bermastautin di KL (dengan syarat seperti Skim Mesra Usia Emas)?

    Program pemberian bantuan sempena perayaan merupakan program bantuan secara tahunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan khusus untuk golongan berpendapatan rendah di negeri Selangor. Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Ini secara tidak langsung membantu melaksanakan agenda Kerajaan Negeri dalam meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf

    Untuk pelaksanaan program, setiap Pejabat DUN akan mengenalpasti penerima-penerima bantuan yang layak mengikut jumlah yang telah ditetapkan bagi setiap DUN dan kriteria pemilihan penerima bantuan yang ditetapkan. Setelah itu, Pejabat DUN perlu mendaftarkan maklumat bagi penerima bantuan yang layak ke dalam sistem Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Kriteria pemilihan penerima bantuan ini adalah seperti berikut:-

    • Penerima bantuan mestilah beragama Buddha/ Islam/ Hindu dan berbangsa Cina/ Melayu/ India yang menyambut tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina/ Hari Raya Aidilfitri/ Deepavali;
    • Penerima bantuan mempunyai pendapatan seisi rumah RM1,500.00 dan ke bawah;
    • Penerima bantuan mestilah pengundi berdaftar di DUN berkenaan; dan
    • Hanya seorang penerima bantuan sahaja yang layak menerima baucer bagi setiap keluarga

    Manakala Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pula merupakan skim khairat kematian, sebagai menghargai warga emas, tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka. Ianya adalah pemberian percuma kerajaan Negeri Selangor kepada warga emas dan OKU yang layak. Apabila ahli meninggal dunia, penama yang berdaftar boleh menuntut dari Pusat Khidmat DUN di tempat mereka telah didaftarkan dan kerajaan negeri akan memberi sumbangan khairat kematian atau manfaat sebanyak RM2,500. Ianya bertujuan untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan urusan yang berkaitan dengan si mati, seperti pembayaran keseluruhan atas sebahagian kos pengurusan jenazah dan pengkebumian, menyelesaikan sebahagian atau keseluruhan hutang si mati, dan sebagainya. Syarat-syarat kelayakan permohonan bagi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) adalah seperti berikut:-

     

    • Warga emas yang layak mendaftar adalah seorang warganegara Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas yang:-
    • Lahir dan sedang menetap di Negeri Selangor; ATAU
    • Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 dan sedang menetap di Negeri Selangor atau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; ATAU
    • Bermastautin di Negeri Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun (bagi yang bukan kelahiran Negeri Selangor).

    Secara dasarnya, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan mengambil maklum dan menyokong syor dan cadangan supaya memperluaskan Program Pemberian Bantuan Bersempena Perayaan kepada rakyat Negeri Selangor yang bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti yang dilaksanakan di dalam program Skim Mesra Usia Emas/ OKU. Namun begitu, ketetapan peruntukan program ini adalah terhad dan tertakluk kepada peruntukan tahunan semasa Kerajaan Negeri. Manakala peruntukan mengikut DUN pula adalah bergantung kepada anggaran jumlah pengundi kaum berkenaan mengikut daftar pemilih serta tertakluk kepada kelulusan MMKN. Jawatankuasa Tetap Kemiskinan juga berpandangan bahawa peruntukan ini perlu dikawalselia sebaik mungkin bagi mengurangkan aras kebergantungan rakyat Selangor terhadap bantuan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor serta melahirkan rakyat yang berdikari dan proaktif untuk menjana/ meningkatkan pendapatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.