Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

91) JOM SHOPPING

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan agihan dan nilai Program Jom Shopping?

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Program ini bermatlamat meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Melalui program ini, setiap keluarga yang kurang berkemampuan berpeluang membuat pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. Peruntukan tahunan adalah berjumlah RM8.4 juta dengan sasaran penerima seramai 84,000 orang.

     

    Bermula dari tahun 2012 sehingga kini, nilai setiap unit baucar bantuan adalah kekal pada kadar RM100 setiap satu. Namun begitu, dari segi agihan baucar pula bermula pada tahun 2019, terdapat penambahbaikan dilakukan dimana pembahagian dilaksanakan mengikut kepada statistik pengundi berdaftar mengikut bangsa di setiap DUN yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Kaedah ini telah membantu dalam mengenalpasti DUN yang mempunyai jumlah pengundi yang tertinggi mahupun yang terendah mengikut bangsa dan memudahkan proses pembahagian baucar bagi Program Bantuan Baucar Sempena Perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

     

    Justeru itu, cadangan untuk meningkatkan agihan dan menaikkan nilai setiap baucar ini dijangka akan melibatkan implikasi kos yang lebih tinggi dan ianya perlu diteliti dengan lebih terperinci khususnya dalam melihat impak dan kesan pelaksanaannya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.